Arif Aiman masih pilihan kekal MPV – Raja Isa

Arif Aiman masih pilihan kekal MPV – Raja Isa


PENGENDALI berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah optimis bahawa aura bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi akan terus menyinar dalam usaha mengekalkan gelaran Pemain Paling Bernilai (MPV) pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024/25 buat kali keempat berturut-turut.

Menurut Raja Isa, prestasi cemerlang pemain sayap lincah itu di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) telah menjadikan nilai dan kemampuannya sukar ditandingi oleh pemain tempatan lain.

“Secara peribadi, saya melihat penyertaan Arif Aiman dalam ACLE telah melonjakkan tahap kematangannya ke satu dimensi yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Proses itu turut memperkukuh identitinya sebagai seorang pemain bola sepak profesional yang semakin matang dan berkesan dalam permainannya,” katanya kepada Sukan Sinar.

Tambah beliau, pemain muda seperti Arif Aiman memerlukan platform kompetitif untuk terus berkembang secara konsisten, dan JDT menyediakan ruang terbaik untuk itu.

“Di JDT, Arif bukan sahaja bersaing dengan pemain tempatan berpengalaman, malah turut diuji dengan kehadiran pemain import bertaraf tinggi. Itu bukan perkara mudah untuk pemain muda seperti dirinya.

“Namun, dalam tempoh empat musim bersama JDT, beliau telah membuktikan kemampuan dengan tampil konsisten serta berdaya saing dalam setiap perlawanan,” ujarnya.

Meskipun Arif Aiman kini dilihat sebagai antara aset paling bernilai dalam bola sepak tempatan, Raja Isa berpandangan pemain berusia 22 tahun itu masih perlu terus belajar dan mengasah kemahiran bagi mengekalkan kecemerlangan pada peringkat lebih tinggi.

“Beliau memiliki masa depan yang cerah, namun proses pembelajaran harus diteruskan agar dapat menjadi pemain yang benar-benar lengkap serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

ABK 2024-2025 berlangsung malam ini dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Arena.



Source link

OR

Scroll to Top