“DIA pemain luar biasa,” Itu reaksi pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio bagi mengulas aksi pemain kebangsaan, Arif Aiman Hanapi pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Menurutnya, Pemain Paling Bernilai (MVP) 2023 itu muncul wira buat skuad Harimau Selatan apabila meledak tiga gol pada babak pertama bagi membantu kemenangan pasukan.
Malah Bidoglio turut berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan Arif Aiman di sepanjang perlawanan itu.
“Pada hari ini (Ahad), dia mempamerkan aksi yang cukup luar biasa… selain melakar hatrik, dia turut bermain secara berpasukan selain membantu ketika bertahan.
“Oleh itu, sudah pasti saya gembira melihatnya bermain dengan bersungguh-sungguh kali ini.
“Lagipun, saya tahu bagaimana dia bekerja keras setiap hari bagi meningkatkan mutu permainannya,” katanya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.
Pada aksi Liga Super itu, Arif Aiman meledak tiga gol masing-masing pada minit ke-12, 36 dan 42 bagi membantu kemenangan pasukan ketika turun melayan kunjungan KL City FC.
Jelasnya, kejayaan itu bukanlah mudah setelah pasukan lawan bermain sangat rendah dan kompak hingga menutup ruang buat pasukan untuk mencipta peluang gol pada babak pertama.
“Situasi sama turut berlaku di babak kedua, pergerakan menjadi agak terbatas dan menyukarkan gerakan gol dilakukan. Bagaimanapun, pemain sudah melakukan yang terbaik dan mengekalkan kelebihan jaringan hingga penamat.
Sementara itu, Bidoglio menyifatkan masih banyak yang perlu diperbaiki skuad kendaliannya itu bagi mengharungi dua lagi aksi berdepan KL City FC dalam saingan Piala Malaysia.
Katanya, kesemua aspek berkenaan penting dalam usaha memastikan kemenangan pasukan.
“Kita akan berdepan lawan yang sama selepas ini dalam aksi Piala Malaysia… Oleh itu ada beberapa aspek yang perlu ditambah baik termasuklah sentuhan penyudah.
“Ini kerana setiap peluang itu perlu diterjemahkan sebaiknya dan perkara ini antara yang perlu kita perbaiki lagi,” katanya.
Untuk rekod, JDT akan bertandang ke Kuala Lumpur bagi aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, Jumaat ini sebelum melayan kunjungan The City Boys bagi aksi kedua pada 21 Disember nanti.