KEHADIRAN ramai pemain baharu musim ini menjadi motivasi buat Arif Aiman Hanapi untuk bekerja lebih keras bagi menjamin tempat dalam kesebelasan utama skuad Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurut pemain sayap lincah Harimau Selatan itu, kehadiran pemain-pemain berkenaan telah mewujudkan saingan sihat ketika sesi latihan dan memberikan peluang kepada pemain lain untuk meningkatkan prestasi masing-masing.
“Ya, sekarang saya kena bekerja keras untuk tempat saya. Saya perlu ‘fight’ antara satu sama lain dalam latihan.
“Saya buat persiapan dengan serius sebelum musim bermula kerana setiap musim adalah peluang baharu bagi saya dan saya tidak anggap ia sama seperti musim sebelum ini,
“Oleh itu, setiap musim baharu penting bagi saya. Kedatangan pemain baharu banyak membantu pasukan dan JDT semakin lama semakin kuat,” katanya ketika sidang akhbar sejurus tamat perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.
Pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanapi meraikan jaringan gol selepas berjaya menembusi gawang pasukan Selangor FC. Foto Bernama
Dalam perlawanan tersebut, JDT menewaskan Selangor FC, 3-0 bagi menjulang trofi Sultan Haji Ahmad Shah yang mana Arif Aiman turut meledak satu gol pada minit ke-70.
Kejayaan tersebut sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan setelah Jairo Da Silva membuka jaringan seawal minit pertama sebelum Eddy Israfilov menanduk masuk gol kedua pada minit ke-63.
Mengulas prestasinya di padang, Arif mengakui setiap pemain akan melalui detik sukar dan senang, namun beliau bertekad untuk tidak berputus asa.
Malah katanya, ketua jurulatih banyak memberi kebebasan beraksi sewaktu latihan selain menekankan persiapan peribadi sebagai faktor penting sebelum saingan liga bermula.
“Dalam bola sepak, ada masa kita ‘struggle’, ada masa senang. Tapi saya akan terus belajar dan ambil peluang, tak kira lawan kuat atau lemah,” katanya.
Sementara itu Arif Aiman berkata, kehadiran penyerang import baharu, Jairo Da Silva memberikan dimensi berbeza berbanding gandingannya dengan Bergson Da Silva.
“Setiap pemain ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Dalam pramusim, kami banyak bermain bersama, jadi saya tahu bagaimana Jairo bermain dan dia pun tahu cara saya.
“Dengan Bergson lain, dengan Jairo pun lain. Setiap minit dalam perlawanan situasinya berbeza dan dari situ kami cuba sesuaikan diri,” katanya.