Arif Aiman (dua kiri) kembali disenaraikan dalam skuad JDT bagi perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kuching City malam ini. Foto: Johor Southern Tigers
KEHADIRAN semula pemain sayap sensasi negara, Arif Aiman Hanapi menjadi tonik terbaik buat Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang final Piala Malaysia menentang Kuching City FC di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Selepas hampir enam bulan berehat akibat kecederaan hamstring, Arif Aiman kembali tersenarai dalam skuad Harimau Selatan bagi misi memburu kejuaraan kelima Piala Malaysia.
Pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini mengalami kecederaan ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Bukit Jalil pada November tahun lalu sebelum menjalani tempoh pemulihan panjang.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz bagaimanapun menjelaskan Arif Aiman masih belum berada pada tahap kecergasan terbaik dan perlu dikendalikan dengan berhati-hati sekiranya diturunkan.
“Dia sudah lama tidak bermain dan sudah tentu ada tekanan jika diturunkan.
“Dia masih memerlukan masa untuk kembali ke tahap sebenar,” katanya.
Dalam masa sama, Munoz menjangkakan aksi final berlangsung sengit memandangkan Kuching City muncul antara pasukan paling konsisten musim ini selepas menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua.
“Cabaran utama ialah kami berdepan pasukan yang hanya bolos 14 gol sepanjang musim liga. Setiap pertemuan sebelum ini juga sangat sengit,” katanya.
JDT memburu gelaran kelima selepas muncul juara pada 2019, 2022, 2023 dan 2024/2025, manakala Kuching City kendalian Aidil Sharin Sahak mengintai trofi pertama dalam sejarah kelab.






