am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia memberi kebenaran kepada kapal daripada Armada Pasifik Russia untuk berlabuh di Georgetown, Pulau Pinang, bermula hari ini, hingga Khamis ini.
Ia membabitkan korvet Gromkiy, Rezkiy, Aldar Tsydenzhapov serta kapal penangki Pachenga.
Kementerian Luar pada kenyataan 25 September lalu berkata, kerajaan menggariskan beberapa syarat untuk kemasukan armada itu ke perairan negara.
Katanya, kapal dan anak kapal Russia perlu mematuhi perundangan Malaysia dan peraturan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika berada di perairan negara.
“Semasa kapal berada di pelabuhan, penggunaan peralatan penghantaran elektronik harus dikurangkan ke tahap minimum dan langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk menjaga keselamatan kapal dan anak kapal mereka,” kata kementerian.
Kementerian Luar berkata, sebarang perbelanjaan sepanjang armada itu menjalani latihan di negara ini tertakluk di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan Russia.
“Kementerian Luar memanfaatkan peluang ini untuk mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan Russia,” katanya.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, China dan Russia sedang melaksanakan latihan anti kapal selam di perairan Pasifik, selepas menyertai latihan tentera laut Beibu/Interaction 2024 sejak September lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd