DUA kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Aston Villa membawa bekalan selesa menjelang timbal balik kedua Pusingan 16 Liga Juara-Juara selepas menundukkan lawan masing-masing pada Rabu.
Arsenal, yang sedang bergelut dengan prestasi kurang memuaskan di liga domestik, membuktikan mereka masih berbisa dan digeruni di pentas Eropah.
The Gunners melupakan seketika kesengsaraan ditinggalkan jauh oleh pendahulu Liverpool apabila menang besar 7-1 ke atas PSV Eindhoven di Stadium Philips.
Anak buah Mikel Arteta memulakan pesta gol seawal minit ke-18 menerusi jaringan Jurrien Timber, diikuti Ethan Nwaneri (m-21), Mikel Merino (m-31), Martin Odegaard (m-47, m-73), Leandro Trossard (m-48) dan Riccardo Calafiori (m-85).
Calafiori meledak gol ketujuh Arsenal di Stadium Philips. Foto: Agensi
PSV, yang dibimbing Peter Bosz, hanya mampu membalas menerusi sepakan penalti Noa Lang pada minit ke-43.
Arsenal kini membawa bekalan selesa ke Stadium Emirates untuk perlawanan timbal balik kedua minggu depan.
Sementara itu, Aston Villa bimbingan Unai Emery pula membawa bekalan selesa selepas dua gol 10 minit terakhir menewaskan Club Brugge, 3-1 dalam perlawanan pertama di Stadium Jan Breydel.
Leon Bailey terlebih dulu meletakkan pasukan pelawat di depan seawal minit ketiga sebelum sentuhan Maxim De Cuyper menyamakan kedudukan buat Club Brugge, minit ke-12.
Bagaimanapun jaringan sendiri pemain pertahanan pasukan tuan rumah, Brandon Mechele minit ke-82 diikuti Marco Asensio (m-88) menyaksikan anak buah Nicky Hayen berdepan tugas berat di Villa Park, Khamis depan.
Sementara itu, penyandang juga juara 15 kali, Real Madrid membawa bekalan satu gol untuk timbal balik kedua selepas menewaskan Atletico Madrid, 2-1 di Stadium Santiago Bernabeu.
Derbi Madrid itu dimulakan jaringan pemain tuan rumah Rodrygo seawal minit keempat kemudian Julian Alvarez menyamakan kedudukan minit ke-32 sebelum Brahim Diaz memastikan kemenangan anak buah Carlo Ancelotti minit ke-55.
Satu lagi perlawanan di Signal Iduna Park, gergasi Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund terikat 1-1 berdepan kelab Ligue 1, Perancis, Lille.
Karim Adeyemi meletakkan Dortmund di depan minit ke-22 sebelum Hakon Arnar Haraldsson menyamakan kedudukan minit ke-68 untuk talian hayat timbal balik kedua di Decathlon Arena (Stade Pierre Mauroy) Khamis depan.
LIGA JUARA-JUARA
KEPUTUSAN
PUSINGAN 16
PERLAWANAN PERTAMA
Club Brugge 1-3 Aston Villa
Real Madrid 2-1 Atletico Madrid
PSV Eindhoven 1-7 Arsenal
Borussia Dortmund 1-1 LOSC Lille