Pemain Arsenal meraikan jaringan Merino ketika bertemu Leicester City. Foto AFP
MIKEL Arteta telah memberi amaran kepada Liverpool bahawa Arsenal tidak akan berhenti berjuang untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas memperoleh kemenangan lewat menentang Leicester City, empat hari selepas pasukan Arne Slot kehilangan mata kepada Everton.
The Gunners merapatkan jurang dengan Liverpool kepada hanya empat mata hasil dua gol Mikel Merino yang masuk sebagai pemain gantian dalam kemenangan 2-0 ke atas Leicester City di Stadium King Power.
Arteta menegaskan pasukannya akan memberikan cabaran sebenar untuk mengejar pendahulu liga itu dengan baki 13 perlawanan untuk The Gunners.
“Kami benar-benar mahukannya (juara EPL),” kata Arteta apabila ditanya mengenai mesejnya kepada Liverpool.
“Tidak kira apa yang berlaku atau kesukaran yang akan kami hadapi, kami akan cuba melakukannya.
“Pasukan (Arsenal) mahukannya, kami mempunyai tujuh atau lapan bulan bekerja untuk meraih gelaran ini. Kami tidak akan berhenti,” katanya.
Arsenal kini tidak tewas dalam 15 perlawanan terakhir mereka di liga utama, dengan 10 kemenangan dicatatkan tetapi kini menghadapi perlawanan yang mencabar ketika mereka perlu bersedia untuk menentang West Ham, Nottingham Forest, Manchester United dan Chelsea pada bulan depan.
“Ia adalah minggu yang baik. Kita akan lihat apa yang berlaku.
“Kami hanya boleh melakukan apa yang ada dalam kawalan kami. Tetapi anda pergi beraksi di mana-mana venue, ia akan menjadi sukar. Kami perlu berada pada tahap terbaik untuk menang,” katanya.