Arsenal bimbang Saliba ke Real Madrid

Arsenal bimbang Saliba ke Real Madrid


ARSENAL dilaporkan sedang bersedia untuk memulakan rundingan kontrak baharu bersama tonggak pertahanan utama mereka, William Saliba dalam usaha mengekang minat mendalam daripada Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas ini.

Pemain antarabangsa Perancis itu kini menjadi sasaran utama kelab gergasi Sepanyol berkenaan, susulan rancangan pengurus baharu Real, Xabi Alonso yang mahu memperkukuh benteng pertahanan dengan pemain muda berkualiti tinggi.

Saliba yang konsisten mempamerkan aksi matang dan berprofil tinggi, dilihat sebagai calon ideal untuk memperkuat barisan pertahanan Los Blancos.

Meskipun Saliba masih terikat kontrak sehingga 2027, Arsenal menyedari bahawa tempoh dua tahun yang berbaki menjadikan musim panas ini detik penting untuk menjamin masa depan pemain berusia 24 tahun itu.

Ketika ini, Saliba merupakan antara pemain dengan bayaran tertinggi di Emirates, namun peningkatan prestasi dan nilai pasaran menyaksikan beliau layak untuk rundingan semula.

Arsenal jelas enggan mengambil risiko berdepan kehilangan salah seorang pemain paling berharga mereka, terutama apabila Real dikenali dengan kemampuan serta pengaruh mereka dalam memancing pemain bertaraf dunia.

Saliba bukan sekadar pertahanan kental, malah gaya permainannya yang tenang, cerdas dalam membaca permainan dan mahir mengawal bola menjadikannya sesuai dengan falsafah permainan Real.

Namun begitu, Arsenal tetap yakin bahawa pemain itu gembira dan selesa dengan peranannya sebagai tonggak utama skuad kendalian Mikel Arteta.

Sejak menyertai The Gunners dari Saint-Etienne pada 2019 dengan yuran sekitar £27 juta (RM160 juta), Saliba menunjukkan kematangan luar biasa daripada pemain pinjaman kepada watak dominan di bahagian pertahanan.

Dalam tiga musim terakhir, Saliba berkembang menjadi tunjang utama strategi pertahanan The Gunners dan simbol kestabilan kelab.

Walau bagaimanapun, kekurangan trofi utama sepanjang tempohnya di kelab masih menjadi tanda tanya besar. Arsenal perlu menunjukkan kesungguhan dan aspirasi untuk bersaing di peringkat tertinggi baik di pentas domestik mahupun Eropah, sekiranya mahu meyakinkan Saliba dan pemain bintang lain untuk terus setia.

Rundingan awal telah dimulakan dan Arsenal bertekad memuktamadkan kontrak jangka panjang secepat mungkin. Difahamkan, Saliba kini menerima gaji sekitar £190,000 (RM1.13 juta) seminggu, namun beliau dilaporkan bersedia menuntut kadar baharu setimpal dengan statusnya sebagai salah seorang bek terbaik Eropah.

Arteta sebelum ini menegaskan Saliba berpuas hati di Emirates dan tidak terganggu dengan spekulasi perpindahan.



Source link

OR

Scroll to Top