Gyokeres (kiri) senjata baharu Arsenal di bahagian serangan musim ini.
ARSENAL kembali mengintai peluang menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) apabila membuka tirai kempen menentang Athletic Bilbao, awal pagi Rabu ini berbekalkan barisan serangan baharu yang dibentuk hasil pelaburan besar pada musim panas lalu.
Selepas tersingkir di separuh akhir musim lalu di tangan Paris Saint-Germain (PSG), The Gunners tampil dengan tekad lebih segar.
Mikel Arteta membawa masuk Viktor Gyokeres, Noni Madueke dan Eberechi Eze yang segera membuktikan keupayaan apabila ketiga-tiganya menyerlah dalam kemenangan 3-0 menewaskan Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.
Gyokeres meledak gol ketiga peribadi dalam empat penampilan, Madueke cemerlang menggantikan Bukayo Saka yang cedera, manakala Eze tidak mengecewakan.
Tidak cukup dengan itu, pemain tengah Sepanyol, Martin Zubimendi turut meledak jaringan sulung bersama Arsenal sejak berhijrah dari Real Sociedad.
Namun kegembiraan itu sedikit tercalar apabila kapten pasukan, Martin Odegaard terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan bahu.
Walaupun Arteta belum mengesahkan tahap kecederaannya, tonggak Norway itu masih diragui menjelang kunjungan ke San Mames.
Jika Odegaard diketepikan, beban bakal dipikul Eze yang kini mengintai debut UCL dalam kariernya iaitu satu kisah penuh simbolik buat pemain berusia 26 tahun itu yang pernah dilepaskan Arsenal ketika remaja.
“Inilah peluang yang saya nantikan. Tidak semua pemain berpeluang merasai detik seperti ini,” katanya.
Arsenal tidak pernah memenangi trofi UCL dan kali terakhir bergelar juara liga ialah pada 2004.
Ringkasan AI
- Arsenal membuka tirai kempen Liga Juara-Juara menentang Athletic Bilbao dengan barisan serangan baharu
- Mikel Arteta membawa masuk Viktor Gyokeres, Noni Madueke dan Eberechi Eze yang cemerlang dalam kemenangan terakhir
- Gyokeres, Madueke, dan Eze telah membuktikan keupayaan mereka di Liga Perdana Inggeris
- Kapten pasukan, Martin Odegaard, diragukan untuk perlawanan seterusnya akibat kecederaan bahu
- Arsenal tidak pernah memenangi trofi Liga Juara-Juara dan kali terakhir menjadi juara liga adalah pada 2004