Sentuhan Trossard menyaksikan Arsenal keluar dari Fulham dengan tiga mata dalam aksi EPL. Foto Agensi
LEANDRO Trossard muncul wira Arsenal apabila jaringan tunggalnya pada babak kedua memastikan kemenangan tipis 1-0 ke atas Fulham di Craven Cottage, sekali gus mengukuhkan kedudukan The Gunners dengan kelebihan tiga mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tanpa kapten pasukan, Martin Odegaard yang direhatkan, pengendali Mikel Arteta menurunkan Eberechi Eze bagi mengemudi jentera serangan, dengan harapan memanfaatkan sepenuhnya kreativiti dan kepantasan barisan hadapan.
Gol kemenangan Arsenal hadir pada minit ke-58 selepas sepakan sudut Bukayo Saka disambut Gabriel yang menanduk bola ke arah Trossard, sebelum disudahkan penyerang Belgium itu dari jarak dekat di tiang jauh.
Arteta menyifatkan naluri pembunuh Trossard sebagai kelebihan istimewa yang banyak membantu pasukan dalam detik sukar.
“Dia memiliki kualiti luar biasa untuk mencipta detik magis apabila pasukan paling memerlukannya. Intuisinya kuat, sentiasa berada di tempat dan masa yang tepat — satu aset besar untuk kami.
“Saya sangat gembira dengan prestasinya. Dia semakin konsisten dan berada pada tahap emosi serta keyakinan yang tinggi, sama seperti beberapa pemain lain ketika ini,” ujar Arteta.
Bagaimanapun, perlawanan di laman The Cottagers itu bukan tugas mudah buat Arsenal apabila Fulham tampil agresif sejak awal permainan.
Harry Wilson dan Josh King hampir meletakkan tuan rumah di hadapan, namun percubaan mereka dinafikan kecemerlangan penjaga gol sensasi Arsenal, David Raya.
Arsenal yang bermula perlahan mula menguasai permainan pada pertengahan babak pertama dan sempat menjaringkan gol menerusi Riccardo Calafiori, namun jaringan itu dibatalkan kerana offsaid.
Selepas rehat, skuad bimbingan Arteta menggandakan tekanan dan menguasai hampir keseluruhan babak kedua.
Saka berpeluang menambah jaringan apabila dikasari dalam kotak penalti, tetapi keputusan sepakan penalti itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Kemenangan tersebut membolehkan Arsenal mengumpul tiga mata berharga untuk terus mendahului carta liga dengan kelebihan tiga mata di hadapan Manchester City, yang sebelum itu menewaskan Everton.
Liverpool pula di tempat ketiga, empat mata di belakang Arsenal, dan bakal menentang Manchester United di Anfield pada Ahad.
Ringkasan AI
- LEANDRO Trossard mencetak gol tunggal yang memberikan Arsenal kemenangan 1-0 atas Fulham
- Tanpa Martin Odegaard, Eberechi Eze dimainkan untuk mengemudi serangan Arsenal
- Gol kemenangan diciptakan melalui kerjasama antara Bukayo Saka, Gabriel, dan Trossard
- Mikel Arteta memuji naluri pembunuh dan konsistensi Trossard
- Kemenangan ini mengukuhkan kedudukan Arsenal di puncak Liga Perdana Inggeris dengan tiga mata kelebihan