Arsenal kerja keras di Vale Park

Arsenal kerja keras di Vale Park


Eze ledak gol pertama bersama Arsenal di Vale Park. Foto: Agensi

BINTANG baharu Arsenal, Eberechi Eze akhirnya membuka akaun jaringannya bersama The Gunners apabila membantu kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu menundukkan Port Vale 2-0 dalam aksi pusingan ketiga Piala Liga di Vale Park, awal pagi Khamis.

Penyerang yang baru menyertai kelab London bulan lalu itu meledak gol pertama perlawanan seawal minit kelapan hasil hantaran Gabriel Martinelli juga jaringan sulungnya selepas enam penampilan bersama skuad kendalian Mikel Arteta.

Eze hampir menambah koleksi gol peribadi menjelang rehat separuh masa pertama, namun percubaannya kali ini dinafikan ketangkasan penjaga gol The Valiants, Joe Gauci.

Port Vale, yang baru dinaikkan ke saingan Divisyen Satu hujung musim lalu, tidak mudah menyerah dan beberapa kali menghadirkan ancaman terutama menerusi situasi bola mati.

Peluang terbaik skuad tuan rumah hadir pada minit ke-75 apabila sepakan lencong jarak jauh pemain gantian Devante Cole hanya sedikit tersasar.

Arsenal akhirnya menutup ruang kebangkitan lawan apabila Leandro Trossard meledak gol kedua pada penghujung permainan, sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan keempat.

Pusingan keempat menyaksikan Arsenal akan berdepan Brighton & Hove Albion di Stadium Emirates.

Arteta yang melakukan sembilan pertukaran daripada kesebelasan utama ketika seri 1-1 menentang Manchester City pada hujung minggu lalu mengakui pasukannya berdepan kesukaran menambah jaringan selepas gol awal Eze.

“Eze bermain di kawasan tengah menentang pasukan yang sangat padat di situ. Bukan mudah mencari ruang, tetapi dia memiliki kualiti mengawal bola.

“Dia masih perlukan lebih masa memahami rentak dengan rakan sepasukan supaya lebih konsisten. Secara keseluruhan, prestasinya sangat baik dan saya yakin dia mampu beri lebih lagi,” kata pengendali dari Sepanyol itu.

Selain jaringan Eze, satu lagi berita positif buat Arsenal ialah kepulangan Bukayo Saka yang beraksi lebih 60 minit selepas berehat panjang akibat kecederaan hamstring.

Arsenal kini kembali memberi tumpuan kepada saingan liga menentang Newcastle United pada Ahad ini, manakala Port Vale akan bertemu Barnsley dalam saingan liga sehari lebih awal.

Ringkasan AI

  • Eberechi Eze jaringkan gol pertamanya untuk Arsenal dalam kemenangan 2-0 ke atas Port Vale dalam Piala Liga
  • Eze meledak gol pada minit ke-8 selepas hantaran dari Gabriel Martinelli
  • Peluang terbaik Port Vale hadir pada minit ke-75 namun sepakan Devante Cole tersasar
  • Leandro Trossard meledak gol kedua Arsenal pada penghujung permainan
  • Arsenal akan berdepan Brighton & Hove Albion di pusingan keempat Piala Liga



Source link

OR

Scroll to Top