Arsenal mara ke separuh akhir UCL

Arsenal mara ke separuh akhir UCL


ARSENAL menamatkan penantian panjang untuk kembali ke pentas tertinggi Eropah apabila mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) buat kali ketiga dalam sejarah kelab selepas menundukkan Real Madrid 2-1 di Santiago Bernabeu, sekali gus melakar kemenangan agregat meyakinkan 5-1 pada awal pagi Khamis.

Anak buah Mikel Arteta yang membawa bekalan selesa 3-0 dari aksi pertama di Emirates minggu lalu tampil penuh keyakinan di gelanggang keramat Los Blancos.

Kelebihan mereka ditambah pada minit ke-65 menerusi jaringan menarik Bukayo Saka yang tenang menyudahkan peluang dengan sepakan cip mengelirukan Thibaut Courtois.

Martinelli (kanan) meledak gol kemenangan Arsenal pada masa kecederaan. Foto Agensi

Martinelli (kanan) meledak gol kemenangan Arsenal pada masa kecederaan. Foto Agensi

Namun, Real yang merupakan penyandang dan juara 15 kali kejohanan tidak menyerah kalah begitu mudah.

Hanya dua minit kemudian, Vinicius Junior merampas bola selepas William Saliba terleka, sebelum meledak gol penyamaan buat tuan rumah.

Harapan Real untuk mencetus kebangkitan bagaimanapun berkubur apabila Gabriel Martinelli muncul wira Arsenal dengan gol kedua pada masa kecederaan, mengesahkan kemenangan bergaya The Gunners di bumi Sepanyol.

Saka meletakkan Arsenal di hadapan menerusi gol cip menarik pada minit ke-65. Foto Agensi

Saka meletakkan Arsenal di hadapan menerusi gol cip menarik pada minit ke-65. Foto Agensi

Separuh masa pertama menyajikan aksi sengit dan dramatik di mana Arsenal berpeluang membuka jaringan awal tetapi sepakan penalti gaya Panenka oleh Saka berjaya dibaca Courtois.

Video Bantuan Pengadil (VAR) pula menggagalkan harapan Real apabila campur tangan menafikan sepakan penalti untuk skuad Carlo Ancelotti.

Kejayaan ini menandakan kemunculan semula Arsenal dalam kelompok elit Eropah, kali terakhir mereka melangkah ke separuh akhir adalah pada musim 2008-2009.

Lebih manis, ini juga merupakan kali pertama Arsenal menyingkirkan Real dalam pertandingan timbal balik.

Pada musim 2005-2006, Arsenal yang ketika itu dibimbing Arsene Wenger menewaskan Real di pusingan 16 terbaik, iaitu pertemuan pertama kedua-dua pasukan yang menyaksikan kelab London Utara itu mara ke final buat kali pertama.

Di separuh akhir nanti, Arsenal bakal berdepan cabaran besar menentang gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Dalam satu lagi pertemuan empat terakhir, Barcelona akan berdepan Inter Milan dalam pertembungan klasik dua bekas juara Eropah.



Source link

OR

Scroll to Top