PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta memberikan bayangan pasukan itu akan berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas ini bagi membawa kelab itu ke tahap seterusnya dan menamatkan kemarau kejuaraan mereka.
Kenyataan Arteta itu hadir sehari selepas The Gunners mengumumkan Andrea Berta sebagai pengganti kepada pengarah sukan Edu.
Berta sebelum ini berkhidmat bersama Atletico Madrid dan kini mengambil alih tugas di Emirates.
Arsenal kali terakhir meraih trofi pada 2020 menerusi Piala FA, namun kelab itu menerima kritikan kerana tidak mendapatkan penyerang dalam beberapa jendela perpindahan yang lalu.
Kegagalan itu semakin ketara apabila Kai Havertz dan Gabriel Jesus diketepikan akibat kecederaan.
Tanpa penyerang utama, pasukan dari utara London itu ketinggalan jauh di belakang pendahulu liga, Liverpool.
Situasi ini menjadikan mereka berisiko untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat kedua buat kali ketiga berturut-turut.
“Ia akan menjadi musim panas yang besar dan kami sangat teruja mengenainya.
“Apabila anda mahu menjadi pencabar sekali lagi, kami perlu menambah kekuatan skuad serta meningkatkan kualiti dan kemahiran yang diperlukan untuk melangkah ke tahap seterusnya.
“Setiap musim panas adalah penting kerana ia satu peluang untuk memperkukuhkan pasukan. Dengan bilangan pemain dalam skuad sekarang, perubahan sememangnya diperlukan,” katanya.
Meskipun harapan Arsenal untuk merangkul kejuaraan liga musim ini semakin pudar, mereka masih bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara dengan aksi suku akhir menentang gergasi Sepanyol, Real Madrid yang dijangka mencuri tumpuan.