Arsenal temui penyerang idaman

Arsenal temui penyerang idaman


NAIB juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal semakin hampir mendapatkan khidmat penyerang kelab liga Portugal, Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres selepas rundingan mengenai beberapa perkara perpindahan memasuki fasa terakhir.

Laporan media minggu lalu menyatakan perjanjian bernilai 63.5 juta pound streling (RM375 juta) hampir dimuktamadkan, dengan The Gunners pada awalnya berharap perpindahan itu diselesaikan sebelum jelajah pramusim ke Asia.

Namun, proses menandatangani penyerang Sweden itu mengalami sedikit kelewatan berikutan rundingan antara kedua-dua kelab berhubung pembayaran tambahan.

Difahamkan, Gyokeres yang berusia 27 telah bersetuju dengan kontrak lima tahun bersama Arsenal kendalian Mikel Arteta.

Status dimuat naik Gyokeres di laman sosialnya.

Penyerang prolifik itu menjadi rebutan sepanjang jendela perpindahan musim panas ini selepas meledak 54 gol dalam 52 perlawanan bersama Sporting musim lalu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Arsenal beralih sasaran kepada Gyokeres selepas gagal mencapai kata sepakat dengan RB Leipzig untuk mendapatkan Benjamin Sesko.

Arteta dilihat begitu terdesak untuk membawa masuk seorang penyerang bertaraf dunia susulan kegagalan barisan serangan Arsenal menjaringkan gol secukupnya musim lalu, ketinggalan 17 jaringan dan 10 mata di belakang juara EPL, Liverpool.

Setakat ini, Arteta sudah pun mengukuhkan bahagian serangan menerusi kehadiran pemain sayap England, Noni Madueke, 23, dari Chelsea minggu lalu.

Gyokeres, bekas penyerang Brighton dan Coventry City telah mencatat 97 gol dalam 102 penampilan sepanjang dua musim di Portugal, sekali gus membantu Sporting menjuarai Liga Primeira dua musim berturut-turut.

Ketika bersama Coventry, Gyokeres turut dikenali sebagai antara penyerang paling tajam dalam saingan Liga Kejuaraan apabila menjaringkan 43 gol dalam 116 perlawanan.

Beliau turut disenaraikan dalam Kesebelasan Terbaik Liga Kejuaraan 2022/23 selepas membantu Coventry mara ke final play-off sebelum tewas menerusi penentuan penalti kepada Luton Town.

Pada musim panas itu, beliau berpindah ke Sporting dengan nilai sekitar 20 juta pound sterling (RM114 juta).

Gyokeres melakukan penampilan sulung bersama skuad Sweden pada 2019 menentang Finland dan setakat ini telah mengumpul 26 kaps serta 15 jaringan.



Source link

OR

Scroll to Top