MANCHESTER: Erling Haaland muncul wira Manchester City apabila jaringan penentunya memastikan kemenangan 2-1 ke atas Arsenal dalam aksi penentuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola kini hanya ketinggalan tiga mata di belakang Arsenal dengan satu perlawanan dalam tangan.
Tekanan kini jelas memihak kepada City, manakala impian Arsenal menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 22 tahun semakin goyah.
City terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi aksi solo memukau Rayan Cherki yang menewaskan benteng lawan.
Namun kesilapan penjaga gol Gianluigi Donnarumma menghadiahkan gol penyamaan buat Arsenal apabila percubaannya dipintas Kai Havertz.
Perlawanan kembali seimbang sebelum Haaland meledak gol kemenangan pada babak kedua selepas menewaskan pertahanan Gabriel Magalhaes.
Arsenal sebenarnya berpeluang mencuri mata, namun nasib tidak menyebelahi apabila beberapa percubaan mereka sekadar menggegar tiang gol.
Martin Odegaard dan Eberechi Eze antara pemain yang hampir menyamakan kedudukan tetapi gagal memanfaatkan peluang terbaik.
Kegagalan itu terus menghantui skuad kendalian Mikel Arteta yang kini melalui prestasi tidak menentu dalam beberapa perlawanan terakhir.
Dengan baki lima perlawanan, perebutan kejuaraan kini kembali terbuka, namun momentum jelas memihak kepada Manchester City untuk merampas takhta liga. – AGENSI





