Arsenal terus badi di Anfield, tewas kepada Liverpool

Arsenal terus badi di Anfield, tewas kepada Liverpool


NAIB juara musim lalu, Arsenal sekali lagi gagal menamatkan badi di Anfield apabila tunduk tipis 0-1 kepada penyandang juara, Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kekalahan itu terus menimbulkan persoalan sama ada skuad kendalian Mikel Arteta benar-benar sudah bersedia untuk menggugat dominasi pencabar utama liga selepas muncul naib juara tiga musim berturut-turut.

The Gunners sekali lagi tampil lesu dalam perlawanan penting, biarpun diperkuatkan dengan barisan pemain ‘idaman’ bernilai sekitar £260 juta (RM1.4 bilion), seolah-olah lebih rela membawa pulang satu mata daripada berusaha menundukkan tuan rumah.

Lebih meresahkan penyokong, Arsenal masih belum mencatat kemenangan di gelanggang Liverpool mahupun Manchester City sejak Arteta dilantik sebagai pengendali pada 2019 — satu petanda jelas bahawa cabaran kejuaraan mereka masih belum cukup mantap.

Perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi berhati-hati lebih didominasi oleh keteguhan barisan pertahanan masing-masing, menyukarkan percubaan daripada barisan serangan bertaraf bintang kedua-dua pasukan.

Namun, detik magis tetap hadir buat Liverpool apabila Dominik Szoboszlai meledak sepakan percuma pada minit ke-83, sekaligus memberikan kemenangan mutlak kepada skuad kendalian Arne Slot.

Gol tunggal perlawanan itu memastikan The Reds kekal di puncak liga dengan sembilan mata maksimum selepas tiga perlawanan.

Arsenal pula sekadar merekodkan satu percubaan tepat ke arah gol, menerusi pemain baharu, Noni Madueke, pada separuh masa pertama.

Penyerang utama, Viktor Gyökeres, gagal menyerlah, manakala kemasukan Eberechi Eze yang membuat penampilan sulung hanya sekadar mengisi minit perlawanan tanpa impak.

Walaupun kehilangan dua tonggak utama, Bukayo Saka dan Kai Havertz, akibat kecederaan, serta Martin Ødegaard yang hanya dimasukkan pada babak kedua, Arsenal seharusnya mampu memberikan ancaman memandangkan Liverpool sebelum ini telah dibolosi empat kali dalam dua aksi liga.

Sebaliknya, segala percubaan bola mati Arsenal gagal menggugat benteng pertahanan tuan rumah yang tampak lebih tersusun dan bersedia.

Arteta nyata kecewa dengan keputusan tersebut, sambil mengakui kegagalan menjaringkan gol ketika menguasai permainan menjadi pemisah utama.

“Kami berjaya kuasai permainan pada beberapa ketika — sesuatu yang bukan mudah dilakukan di Anfield. Tetapi mereka hasilkan satu detik magis untuk menamatkan perlawanan.

“Inilah bezanya antara pasukan juara dan pasukan yang hampir. Kalau bukan Szoboszlai, pasti Mohamed Salah atau pemain lain yang akan ambil peluang. Kami perlu lebih klinikal ketika menguasai perlawanan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top