London: Kekalahan saat akhir Arsenal di Aston Villa bulan ini menjadi tamparan besar dalam usaha mereka memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun pengurus Mikel Arteta berharap tayangan semula perlawanan itu mampu membakar semangat pemainnya menjelang pertemuan semula kedua-dua pasukan pada awal pagi Rabu.
Villa yang dibimbing bekas pengurus Arsenal, Unai Emery kini mencatat 11 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan dan hanya ketinggalan tiga mata di belakang Arsenal dalam carta liga. Arsenal pula mendahului liga dengan kelebihan dua mata ke atas Manchester City.
“Jika anda gunakan motivasi dan keinginan itu dengan cara yang betul, sudah tentu ia membantu”, kata Arteta kepada wartawan hari ini ketika ditanya sama ada menonton semula perlawanan itu boleh memberi inspirasi kepada pemainnya di Stadium Emirates.
“Kami akan menontonnya semula. Saya ada beberapa idea dan perkara yang perlu kami perbaiki. Cara kami tewas juga agak kejam. Tetapi ya, kami belajar daripadanya.”
Kemenangan berganda Villa ke atas Arsenal musim lalu memainkan peranan besar menggagalkan misi kejuaraan Arteta pada musim 202324, dengan kelab London itu menamatkan saingan di tempat kedua untuk tiga musim berturut-turut dan masih memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004.
Arteta berkata Villa adalah pencabar sebenar musim ini, walaupun Emery cuba merendahkan jangkaan terhadap pasukannya.
“Mereka memang layak berada di situ. Lihat apa yang mereka lakukan dan betapa konsistennya mereka. Apa yang Unai lakukan bersama kelab ini sangat mengagumkan. Mereka memang layak menerima pujian kerana mereka membuktikannya di atas padang”, katanya.
Arsenal yang kehilangan beberapa pemain utama akibat kecederaan termasuk Kai Havertz, Cristhian Mosquera dan Ben White, mungkin akan melihat kepada pengambilan pemain baharu pada jendela perpindahan Januari.
“Bergantung kepada ketersediaan pemain tertentu kami perlu sentiasa bersedia dan menilai pilihan yang ada. Sama ada ia boleh direalisasikan atau tidak, itu perkara lain. Tapi tugas kami adalah sentiasa bersiap siaga kerana apa-apa boleh berlaku”, katanya.
Arsenal turut mendapat manfaat daripada empat gol sendiri pihak lawan bulan ini, dan Arteta ditanya sama ada ia hasil tekanan pasukannya atau sekadar nasib.
“Itulah kami mahukan setiap lawan yang datang ke sini perlu menderita. Menentang Villa, kami tahu ia perlawanan sangat sukar. Kami kenal mereka, cara mereka bermain, dan ia akan menjadi perlawanan yang menarik”, katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






