London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menekankan pemainnya perlu menampilkan prestasi lengkap di stadium Emirates pada Selasa ketika mereka berusaha memastikan tempat ke suku akhir Liga Juara Juara menentang Bayer Leverkusen, selepas kedudukan agregat 1-1 dalam perlawanan pertama.
Dalam perlawanan pertama, Arsenal memerlukan penalti lewat minit ke-89 daripada pemain gantian Kai Havertz yang menjaringkan gol untuk kelab lamanya.
“Banyak faktor akan menyumbang kepada peluang kami ke suku akhir. Kami perlu memastikan setiap elemen berada di pihak kami untuk mencapainya,” kata Arteta pada sidang media Isnin.
Leverkusen hadir ke London Utara dengan keyakinan tinggi selepas menahan pemimpin Bundesliga, Bayern Munich, seri 1-1 pada Sabtu lalu.
“Melihat aksi mereka menentang Bayern, ia sangat menyerupai perlawanan pertama. Mereka benar-benar terlatih, dengan struktur jelas. Kami tahu apa yang perlu dilakukan di hadapan penyokong sendiri dan harapnya kami boleh melakukannya,” tambah Arteta.
Arsenal, yang mengimpikan pencapaian empat gelaran musim ini dan berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris serta masih berpeluang memenangi kedua-dua piala domestik, akan kehilangan kapten Martin Odegaard dan pertahanan Jurrien Timber untuk perlawanan kedua.
Bagaimanapun, penyerang Leandro Trossard sudah disahkan cergas.
© New Straits Times Press (M) Bhd






