Arteta tiru taktik lama United untuk menang EPL – Ferdinand

Arteta tiru taktik lama United untuk menang EPL – Ferdinand


LEGENDA Manchester United, Rio Ferdinand mendakwa pengendali Arsenal, Mikel Arteta kini sedang menggunakan ‘taktik lama’ Sir Alex Ferguson dalam usaha memastikan The Gunners menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Ferdinand menegaskan Arteta tidak boleh dipersalahkan kerana ‘meniru’ Ferguson terutamanya apabila melibatkan pengurusan pemain semasa tempoh rehat antarabangsa.

Arsenal kini dilihat sebagai pilihan utama untuk bergelar juara buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun selepas berjaya menjarakkan saingan dengan kelebihan sembilan mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City.

Bagaimanapun, tindakan sekumpulan pemain utama Arsenal yang menarik diri akibat didakwa mengalami kecederaan daripada tugasan kebangsaan baru-baru ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dan kritikan.

Mengulas mengenai situasi tersebut, Ferdinand percaya ia adalah langkah terancang daripada Arteta bagi memastikan kesebelasan utamanya kekal segar menjelang baki perlawanan musim ini.

“Mikel Arteta telah melakukan ‘magisnya’ dan memberitahu mereka (pemain) jika sesiapa pergi bermain (untuk negara), mereka akan didenda. Jadi mereka semua menarik diri,” dakwa Ferdinand menerusi saluran YouTube miliknya.

Ditanya sama ada penyokong Arsenal perlu bimbang dengan deretan kecederaan tersebut, Ferdinand berkata: “Tidak. Mereka semua akan tersedia untuk pemilihan pemain nanti, kecuali seorang atau dua orang.

“Ini jelas sekali Arteta berkata bahawa ia adalah peluang pertama untuk memenangi Liga Perdana dan kena bersedia. Arsenal perlukan tenaga anda, ini hanya perlawanan persahabatan untuk pasukan kebangsaan anda.

“Saya pernah mendengar ucapan ini daripada Sir Alex Ferguson, jadi saya sangat memahaminya. Pemain-pemain ini hanya menetapkan bahawa liga adalah keutamaan kami,” tambah beliau lagi.

Ferdinand mengakui senario itu tidak tumpah seperti apa yang dilaluinya di bawah kendalian Ferguson di Old Trafford apabila pengurus legenda dari Scotland itu sering mendesak pemain bintangnya mendahulukan kelab berbanding negara.

“Beliau (Ferguson) akan masuk ke bilik persalinan dan berkata ‘kita ada perlawanan besar dalam masa 10 hari lagi, itu (tugasan negara) cuma perlawanan persahabatan, saya tak mahu sesiapa bermain lebih 45 minit’.

“Pemain seperti Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo akan didekati secara peribadi dan disuruh menarik diri kerana beliau tidak mahu mereka mendapat kecederaan. Beliau menjaga kepentingannya iaitu Manchester United,” jelas Ferdinand.

Dalam pada itu, pengendali England, Thomas Tuchel mempertahankan tindakan bintang Arsenal, Declan Rice dan Bukayo Saka yang menarik diri daripada skuad kebangsaan menjelang aksi menentang Jepun.

Walaupun sedar situasi itu kelihatan meragukan bagi sesetengah pihak, Tuchel menegaskan kedua-dua pemain itu sebenarnya sangat terdesak untuk beraksi.

“Mereka datang, menjalani penilaian perubatan dan sangat mahu bermain. Tetapi ia tidak masuk akal untuk mengambil risiko itu sekarang.

“Jika ini perlawanan terakhir musim ini, kami mungkin akan mencuba segala-galanya untuk mengekalkan mereka. Namun pada fasa musim ini, risiko kecederaan menjadi lebih teruk adalah terlalu besar,” kata Tuchel.

Arsenal dijadualkan bertemu Southampton dalam aksi Piala FA, sebelum tumpuan beralih kepada misi mempertahankan takhta liga di Etihad bulan depan.

Ringkasan AI

  • Rio Ferdinand mendakwa Mikel Arteta menggunakan taktik Sir Alex Ferguson untuk memastikan Arsenal menjuarai EPL.
  • Arsenal kini berada di hadapan liga dengan kelebihan sembilan mata daripada pencabar terdekat, Manchester City.
  • Beberapa pemain utama Arsenal menarik diri daripada tugasan kebangsaan atas alasan kecederaan untuk kekal segar.
  • Ferdinand menyatakan Arteta memberi keutamaan kepada Arsenal berbanding tugasan negara, mengingatkan cara Ferguson.
  • Thomas Tuchel menyokong keputusan Declan Rice dan Bukayo Saka menarik diri bagi mengelakkan risiko kecederaan.



Source link

OR

Scroll to Top