Arvind ikrar bawa transformasi melalui agenda Chief Vicky Academy

Arvind ikrar bawa transformasi melalui agenda Chief Vicky Academy


KUALA LUMPUR – Berbekalan pengalaman luas lebih 19 tahun penuh cabaran bermula daripada ahli biasa kini Arvind Krishnan kini menang tanpa tanding sebagai Ketua Pemuda MIC Kebangsaan berkuatkuasa semalam.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata Arvind yang sememangnya sinonim dengan sayap pemuda sejak belasan tahun tidak menyangka akan diberikan kemenangan yang disifatkan sebagai tanggungjawab serta amanat oleh keseluruhan ahli parti MIC.

Kata Arvind, beliau sudah mempunyai hala tuju yang jelas berpaksikan visi utama MIC dalam memperjuangkan dan memperkasakan masyarakat India di negara ini berdasarkan pengalamannya dalam parti terbesar komuniti itu sejak dulu lagi.

Arvind bersama sayap Pemuda MIC Kebangsaan.

“Saya perlu cakap ini terlebih dahulu, terima kasih kepada Presiden MIC dan Timbalan Presiden, Tan Sri SA Vigneswaran dan Datuk Seri M Saravanan, tanpa tunjuk ajar dan sokongan tidak berbelah bahagi tidak mungkin saya sampai ke tahap ini.

“Juga penghargaan kepada mantan Ketua Pemuda MIC, YB Raven Kumar dan Timbalannya, Andrew David yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif serta dedikasi selama ini. Terima kasih kepada semua, hakikatnya kemenangan ini adalah satu amanah berat namun manis untuk saya pikul bagi penggal ini.

“Pengalaman lebih 19 tahun inilah yang akan memberikan saya hala tuju jelas selain untuk saya sumbang dalam melaksanakan peranan baru yang diamanahkan baharu ini,” katanya.

Kata Arvind, MIC sentiasa mempamerkan komitmen dalam memperkasakan golongan belia khasnya komuniti India sejak awal perjuangan parti itu malah semakin agresif melalui kepimpinan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam mengemudi visi parti.

Jelasnya, sebagai contoh MIC adalah satu-satunya parti politik yang mempunyai dana pendidikan sendiri iaitu dana pusingan RM100 juta di bawah Maju Institute Of Educational Development (MIED) yang menjadi penyumbang besar dalam menyediakan pinjaman pendidikan serta biasiswa.

“MIED adalah hanya satu daripada contoh sahaja, banyak lagi jika ingin diperkatakan ketika ini. Sebagai sebuah parti politik, MIC sentiasa menjadi penyokong kuat dalam menjaga dan membangunkan kepentingan bukan sahaja komuniti India di Malaysia tetapi juga masyarakat Malaysia secara keseluruhan.

“Pelbagai perkhidmatan yang telah kami sediakan untuk masyarakat, saat ini kami masih lagi mempunyai track rekod sebagai parti dipercayai dan berorientasikan perkhidmatan yang boleh diandalkan oleh rakyat semasa memerlukan.

“Banyak juga cabaran terutamanya persepsi terhadap MIC dalam kalangan masyarakat India, kita komited dalam ubah itu kepada naratif lebih baik, itu juga antara cabaran saya bakal saya laksanakan bersama timbalan saya, Kesavan Kandasamy.

“Kami tekad untuk ubahnya dengan sumbangan positif kami kepada kaum India selama ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Arvind, dirinya komited mendekati belia selain mengadakan dialog terbuka bagi merapatkan kembali jurang yang mungkin ‘jauh’ pada era kini.

“Dengan menggalakkan budaya ketelusan, keterangkuman, dan kebertanggungjawaban, kami berhasrat untuk membina semula kepercayaan dan mengubah persepsi MIC sebagai kuasa politik yang dinamik dan progresif.

“Untuk makluman, sejajar dengan aspirasi ini, saya telah berjaya bertemu ribuan belia di seluruh negara dalam tempoh kempen beberapa bulan lalu untuk mengumpulkan kebimbangan, idea mereka mengenai bagaimana untuk maju sebagai parti yang akan mewakili komuniti dengan menyeluruh.

“Ia juga menjadi agenda saya untuk melancarkan “Chief Vicky Academy,” yang akan berfungsi sebagai akademi politik yang bertujuan meningkatkan literasi politik dalam kalangan belia India di seluruh negara,” katanya. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top