Arwah abang sempat salam, minta maaf pada ibu sebelum jatuh pokok petai

Arwah abang sempat salam, minta maaf pada ibu sebelum jatuh pokok petai


am@hmetro.com.my

Baling: “Pagi tadi arwah abang sempat bersalaman dan meminta maaf pada ibu sebelum keluar rumah.

“Arwah tak pernah buat macam tu sebelum ini, ” kata Zukiman Abdullah Ali, 32.

Zukiman adalah adik kepada Marzuki Abdullah Ali, 34, yang ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh dari pokok sewaktu mengait petai di Kampung Bukit Hijau, Kupang, di sini, hari ini.

Menurutnya, arwah adalah anak sulung daripada 11 beradik dan sangat rapat dengan adik beradik lain.

Katanya, kehilangannya amat dirasai kerana dia seorang abang yang baik dan bertanggungjawab malah kali terakhir mereka berjumpa minggu lalu.

“Abang seorang yang baik dan bertanggungjawab, kami sentiasa bersepakat jika ada perkara tertentu yang perlu diselesaikan.

“Sebelum dia keluar rumah jam 9 pagi, abang bersalaman dan memohon maaf dengan ibu (Faridah Sulimin, 52,) dan sebelum ini abang tidak pernah berbuat begitu.

“Arwah dah biasa panjat pokok petai dan selalunya ambil upah daripada orang kampung, tetapi hari ini mungkin nasibnya tak baik, dia jatuh dari pokok petai yang ketinggiannya lebih kurang 18 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Baling, di sini, hari ini.

Zukiman berkata, kira-kira jam 10 pagi tadi, abangnya bersama bapa saudara pergi ke kebun yang jaraknya hanya tiga kilometer dari rumah untuk memanjat pokok petai manakala bapa saudaranya pula menoreh getah.

Namun katanya, kira-kira jam 10.30 pagi sewaktu berada di atas pokok, abang menjerit memanggil bapa saudara yang ketika itu jaraknya 100 meter.

“Waktu itu bapa saudara nampak keadaan abang yang tidak bermaya lalu jatuh.

“Sebelum kejadian, abang jerit tiga kali panggil bapa saudara dan mengadu dia kelabu mata dan mungkin pitam. Kali ketiga dia jerit, bapa saudara nampak abang dah jatuh, dia segera berlari mendapatkannya.

“Darah keluar melalui hidungnya dan keadaan abang ketika itu sudah tidak sedarkan malah bapa saudara membantunya mengucap dua kalimah syahadah sebelum abang senyap, ” katanya.

Zukiman berkata, dia kemudian menghubungi ahli keluarga untuk beritahu kejadian yang menimpa arwah ketika itu.

Katanya, mereka semua reda dengan pemergian abang sulung mereka itu dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Hijau, Kupang, selepas solat Isyak, malam ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 34 tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh ketika sedang mengait petai di sebuah kebun getah di Kampung Bukit Hijau.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 12.12 tengah hari.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top