am@hmetro.com.my
Besut: “Arwah sempat salam akhir dengan ibu serta saudara-mara sebelum kami bergerak balik dari Kuala Nerang, Kedah ke Besut pada pagi Ahad lalu,” kata Wan Muzalisa Aini Wan Mohamad, 46, balu kepada Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Terengganu, Nasrul Hadi Saiadin.
Nasrul Hadi, 47, meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, Kelantan akibat serangan jantung pada malam Ahad.
Menurut Wan Muzalisa yang juga guru, mereka sekeluarga termasuk lima anak pulang ke kampung halaman Allahyarham untuk bercuti kerana sudah lama tidak pulang ke Kedah.
“Pagi sebelum kejadian arwah ada mengadu dia tidak lalu makan serta rasa agak letih, namun saya minta dia makan sedikit kerana perjalanan pulang agak jauh.
“Ketika bergerak balik, dia nampak ceria serta sempat tunjukkan sekolah serta asrama kepada anak-anak kami yang berumur enam hingga 18 tahun.
“Namun selepas singgah makan kali kedua di kawasan Baling, Kedah, arwah mengadu rasa mengantuk, sebelum saya ambil alih memandu untuk bolehkan dia berehat kerana arwah perlu hadiri program pada malamnya di Besut,” katanya.
Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengarah Perkeso Terengganu, Suhara Mustaffa serta Penolong Pengarah Yadim Terengganu, Ali Azfar Khairul Faiz, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, arwah suaminya pengsan ketika mereka berada di kawasan Tanah Merah, Kelantan dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tanah Merah.
“Bayaran Faedah Pencen Penakat hasil caruman arwah sebelum ini sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban perbelanjaan untuk menguruskan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Suhara berkata, balu Nasrul Hadi layak menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat seumur hidup untuk dirinya.
“Manakala lima anak arwah juga layak menerima Faedah Pencen Penakat sehingga mereka berumur 21 tahun atau berkahwin atau sehingga mendapat ijazah pertama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd