Melbourne: Pusingan kedua Terbuka Australia bermula Rabu dengan beberapa pilihan utama turun beraksi termasuk Carlos Alcaraz, Aryna Sabalenka, Coco Gauff dan Alexander Zverev.
Pemain nombor satu dunia, Aryna, berdepan satu lagi ujian apabila bertemu pemain kelayakan dari China, Bai Zhuoxuan, dalam perlawanan tumpuan kategori wanita.
Aryna sebelum ini diuji pada awal pusingan pertama sebelum mencatat kemenangan straight set ke atas pemain kelayakan Perancis, Tiantsoa Rakotomanga Rajaonah dan dijangka tidak berdepan laluan mudah kali ini.
Zhuoxuan membuktikan keupayaannya apabila bangkit dengan semangat kental untuk menewaskan Anastasia Pavlyuchenkova 6-4, 2-6, 7-6(10) menerusi penentuan tiebreak yang mendebarkan.
Aryna, 27, berkata, dia kini cuba mempelbagaikan corak permainan dalam misi memburu gelaran Terbuka Australia ketiga.
“Saya suka bermain dengan cara sukar dijangka. Saya memang beri tumpuan kepada servis dan voli,” katanya.
“Dalam latihan ia satu perkara, tetapi untuk berani melaksanakannya ketika perlawanan sebenar adalah berbeza. Saya benar-benar bangga kerana mampu mempamerkan tenis seperti ini.”
© New Straits Times Press (M) Bhd





