Aryna mula langkah kanan Terbuka AS


New York: Aryna Sabalenka memulakan misi memburu kejuaraan ketiga berturut-turut Terbuka Amerika Syarikat (AS) dengan kemenangan 6-2, 6-4 ke atas pemain Colombia, Camila Osorio, di Flushing Meadows, hari ini.

Pemain pilihan utama kejohanan itu bagaimanapun tidak berada pada tahap terbaik apabila menghasilkan 32 pukulan kemenangan berbanding 23 kesilapan sendiri.

Namun, ketenangan dan corak permainan agresif membantu Aryna mengatasi kesukaran untuk mencatat kemenangan ke-14 berturut-turut di Flushing Meadows, selain melanjutkan rekod kemenangan dalam perlawanan pembukaan Grand Slam kepada 24.

Aryna mengawal set pertama apabila memenangi empat permainan berturut-turut untuk mendahului dengan selesa.

Osorio pula bergelut dengan servisnya apabila melakukan lima kesalahan berganda dalam dua permainan servis pertamanya, sekali gus memberi ruang kepada Sabalenka untuk melebarkan kelebihan sebelum menutup set berkenaan.

Bagaimanapun, Osorio bangkit memberi tentangan lebih sengit pada set kedua apabila mendahului 4-3.

Aryna tidak panik apabila menyelamatkan percubaan lawan sebelum memanfaatkan kesalahan berganda kesembilan Osorio untuk mendahului 5-4.

Pemain Belarus itu kemudian memastikan kemenangan menerusi permainan servis berikutnya.

“Dia bermain dengan baik. Dia memberikan tentangan dan berjuang dengan sangat baik.

“Saya hanya cuba kekal corak agresif sebaik mungkin. Ada kalanya saya perlu bermain lebih ke belakang sekadar memastikan bola dalam permainan sebelum bergerak ke hadapan,” kata Aryna.

Aryna, yang belum melangkah ke final sejak menjuarai kejohanan Miami pada Mac lalu, akan berdepan pemain kelayakan dari Rusia, Polina Iatcenko, pada pusingan kedua nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top