London: Pemain nombor satu dunia Aryna Sabalenka dipilih Pemain Terbaik Tahunan WTA selepas memenangi empat kejuaraan pada 2024.
Bintang tenis Belarus itu mempertahankan Terbuka Australia pada Januari sebelum menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada September yang juga gelaran Grand Slam ketiganya.
Pemain berusia 26 tahun itu turut mengungguli Terbuka Cincinnati pada Ogos dan Terbuka Wuhan (Oktober) untuk muncul wanita pertama menjuarai kejohanan terbabit sebanyak tiga kali.
Pada Oktober dia menjadi pemain nombor satu dunia, menamatkan penguasaan 11 bulan Iga Swiatek di puncak ranking.
Kejayaan itu dicapai Aryna walaupun tidak beraksi di Wimbledon akibat kecederaan dan dia juga tersisih daripada Olimpik pada Ogos susulan masalah kesihatan.
Dia menamatkan musim dengan rekod 54 kemenangan dan tewas 14 kali.
Aryna memenangi anugerah pemain terbaik tahunan kali pertama dalam kariernya dengan Iga memenanginya pada 2022 dan 2023.
Pemenang dipilih oleh Media Tenis Antarabangsa yang turut menobatkan juara Olimpik Paris Sara Errani dan Jasmine Paolini sebagai beregu terbaik tahunan manakala pemain AS Emma Navarro, 23, dipilih pemain paling meningkat musim ini.
Menduduki ranking ke-38 pada penghujung 2023, Emma mara ke kelompok 10 teratas pada September selepas memenangi gelaran pertamanya di Hobart dan tampil enam kali pada separuh akhir termasuk Terbuka AS.
Lulu Sun, 23, dipilih Pemain Baru Terbaik Tahunan selepas pemain New Zealand itu mara ke suku akhir Wimbledon sebagai pemain kelayakan yang membantunya mendaki tangga ke-40 dunia selepas hanya menduduki ranking di luar kelompok 200 pada Januari.
Bekas pemain nombor dua dunia Paula Badosa yang juga rakan rapat Aryna yang menamatkan musim 2023 lebih awal susulan masalah belakang badan diundi sebagai pemenang Anugerah Kemunculan Semula Terbaik Tahunan.
Selepas kembali semua ke jelajah musim ini, pemain Sepanyol itu memenangi gelaran Washington dan turut menyamai prestasi terbaiknya di Grand Slam dengan mara ke suku akhir Terbuka AS untuk menamatkan kedudukan di ranking ke-12.
© New Straits Times Press (M) Bhd