AS adakan rundingan damai dengan Iran

AS adakan rundingan damai dengan Iran


New York: Amerika Syarikat (AS) memulakan rundingan dengan Iran mengenai satu perjanjian damai kekal, menurut utusan khas Steve Witkoff, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bercakap dalam rancangan Fox News lewat malam Selasa, Witkoff berkata rundingan itu “memberangsangkan.”

“Kami sudah berbincang, bukan sahaja secara langsung, tetapi juga melalui perantara,” katanya.

Perjanjian yang berpotensi itu akan membenarkan Iran memiliki program nuklear untuk tujuan awam tetapi tanpa aktiviti pengayaan uranium di wilayah Iran, jelasnya.

Witkoff menolak laporan media yang mendakwa bahawa serangan AS ke atas Iran hujung minggu lalu hanya melambatkan program nuklear negara itu selama beberapa bulan sebagai “sama sekali tidak munasabah.”

Menurutnya, centrifuge di Natanz dan Fordow telah “rosak atau musnah dalam keadaan yang hampir mustahil untuk Iran memulihkan program itu dan pada pandangannya dan juga pandangan ramai pakar lain yang melihat data, ia akan mengambil masa bertahun-tahun.”

Pada hari Selasa, beberapa media AS melaporkan, memetik penilaian risikan, bahawa hanya pintu masuk ke kemudahan di Fordow, yang dibina jauh ke dalam gunung, telah musnah, tetapi bukan bangunan bawah tanah itu sendiri.

Menghancurkan keupayaan nuklear Iran adalah matlamat utama yang dinyatakan oleh kerajaan Israel ketika ia melancarkan serangan pada 13 Jun. AS kemudiannya menyertai serangan ke atas fasiliti nuklear itu dengan menggunakan bom “bunker buster” berkuasa tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top