WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) membebaskan seorang tahanan di Teluk Guantanamo, Mohammed Abdul Malik Bajabu, dan menghantarnya pulang ke Kenya.
Keputusan itu susulan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, telah memaklumkan Kongres mengenai keputusan untuk memulangkan Bajabu ke Kenya, bulan lalu.
Bajabu ditahan oleh pihak berkuasa Kenya di Mombasa pada 2007, sebelum dipindahkan ke Guantanamo beberapa minggu kemudian atas dakwaan terlibat dengan cabang al-Qaeda di Afrika Timur.
Lembaga Kajian Berkala, yang menilai status tahanan, memutuskan pada 2021 Bajabu ‘tidak lagi diperlukan untuk melindungi daripada ancaman besar kepada keselamatan negara AS’.
Pertubuhan Reprieve US yang mewakili Bajabu menyambut baik pembebasan itu dan menegaskan tahanan telah diseksa oleh pihak berkuasa Kenya serta anggota tentera AS.
“AS telah merampas tahun-tahun terbaik hidup seorang lelaki yang tidak bersalah, memisahkannya daripada isteri dan anak-anak kecilnya ketika mereka amat memerlukan sokongannya,” kata seorang peguam yang membantu mewakili Bajabu.
Pentagon menerusi kenyataan merekodkan jumlah tahanan di pusat itu kini hanya berjumlah 29 orang.
Pusat tahanan Guantanamo, yang dibuka pada 2002 di pangkalan tentera AS di Cuba, menempatkan tahanan sebagai ‘perang terhadap keganasan’ selepas serangan 11 September 2001.
Namun, ia beroperasi di bawah sistem undang-undang tentera yang tidak memberikan hak yang sama seperti mahkamah sivil AS.
Tahanan yang telah dibersihkan untuk pembebasan terpaksa menunggu selama bertahun-tahun, sementara Washington mencari negara yang sanggup menerima mereka.
Pada kemuncaknya, Guantanamo pernah menempatkan hampir 800 tahanan, kebanyakannya pernah dipindahkan ke lokasi rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang dikenali sebagai ‘black sites’.
Tahanan diseksa di bawah program ‘interogasi dipertingkatkan’ yang dibenarkan oleh pentadbiran bekas Presiden AS, George W. Bush. -AGENSI