Washington: China berusaha untuk menutup isu kapal selam berkuasa nuklear terbarunya yang dikatakan karam, kata seorang pegawai kanan pertahanan Amerika Syarikat (AS).
Kapal itu karam ketika di limbungan di China, pada awal tahun ini dan ia pertama kali dilaporkan oleh The Wall Street Journal, yang mengatakan imejan satelit kemudian menunjukkan kren terapung tiba untuk menyelamatkannya.
“Tidak menghairankan bahawa Tentera Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) akan cuba menyembunyikan fakta bahawa kapal selam serangan berkuasa nuklear kelas pertama mereka yang terbaru, karam,” kata pegawai kanan pertahanan AS itu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
“Sebagai tambahan kepada soalan yang jelas tentang standard latihan dan kualiti peralatan, insiden itu menimbulkan persoalan yang lebih mendalam mengenai akauntabiliti dalaman dan pengawasan PLA terhadap industri pertahanan China yang lama dibelenggu oleh rasuah,” kata pegawai itu.
Insiden itu satu rintangan bagi China yang sedang berusaha untuk memodenkan tentera lautnya yang terbesar di dunia, termasuklah mempunyai banyak kapal perang lebih kecil seperti frigat dan korvet.
Sementara itu, AS dan United Kingdom sedang berusaha untuk menyediakan kapal selam berkuasa nuklear kepada Australia, satu langkah yang akan memperluaskan kumpulan negara dengan kapal dasar laut termaju.
Beijing mengkritik usaha itu, yang turut membayangkan usaha bersama membangunkan keupayaan perang dan dilihat sebagai jawapan strategik kepada cita-cita tentera China di rantau Pasifik.
© New Straits Times Press (M) Bhd