Moscow: Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya mengerahkan pasukan udara serangan, termasuk pesawat serangan A-10 dan helikopter Apache, bagi menyasarkan tentera laut Iran serta dron sebagai sebahagian daripada operasi untuk memulihkan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, lapor The Wall Street Journal memetik pegawai tentera AS, menurut Sputnik/RIA Novosti.
Pesawat A-10 dilaporkan menyerang bot berkelajuan tinggi di selat tersebut, manakala helikopter Apache terlibat dalam memusnahkan dron yang didakwa digunakan Iran untuk menyerang kapal dan infrastruktur di rantau itu, menurut laporan akhbar berkenaan pada Khamis.
“Pesawat A-10 Warthog kini beroperasi di sepanjang sayap selatan, menyasarkan bot tempur laju di Selat Hormuz,” kata Jeneral Tentera Udara AS Dan Caine kepada pemberita sambil menambah bahawa helikopter Apache “telah menyertai pertempuran di sayap selatan”.
Kempen itu merupakan sebahagian daripada pelan pelbagai fasa Pentagon untuk mengurangkan ancaman yang ditimbulkan oleh bot laju, periuk api dan peluru berpandu jelajah Iran, tambah laporan itu.
Pada 28 Februari, AS dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran termasuk di Tehran, yang menyebabkan kerosakan dan korban awam. Iran bertindak balas dengan menyerang wilayah Israel serta fasiliti tentera AS di rantau Asia Barat.
Peningkatan ketegangan terhadap Iran telah menyebabkan laluan perkapalan di Selat Hormuz terhenti secara de facto, iaitu laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global, sekali gus menjejaskan eksport dan pengeluaran minyak di rantau itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






