July 27, 2024

AS mahu PBB sokong rancangan perjanjian gencatan senjata Gaza

AS mahu PBB sokong rancangan perjanjian gencatan senjata Gaza


GENEVA: Amerika Syarikat (AS) mahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menerima pakai resolusi menyokong rancangan yang digariskan Presiden, Joe Biden untuk menamatkan pertempuran antara Israel dan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.

Teks draf satu muka surat itu diedarkan kepada 15 anggota majlis pada Isnin, yang memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto oleh AS, Perancis, Britain, China atau Russia untuk diluluskan.

Draf itu menyeru Hamas untuk menerima perjanjian ‘sepenuhnya dan melaksanakan termanya tanpa syarat dan berlengah’.

Ia juga menekankan kepentingan pihak-pihak yang mematuhi syarat perjanjian yang dipersetujui, dengan tujuan menghentikan permusuhan secara kekal.

Cadangan AS itu dibuat seminggu selepas Algeria mencadangkan draf resolusi Majlis Keselamatan menuntut gencatan senjata di Gaza, dan pada dasarnya mengarahkan Israel untuk segera menghentikan serangan tenteranya di Rafah.

Jumaat lalu, Biden membentangkan rancangan tiga fasa Israel untuk gencatan senjata di Gaza sebagai pertukaran kepada pembebasan tebusan.

“Banyak pemimpin dan kerajaan termasuk di rantau ini telah mengesahkan rancangan ini dan kami menyeru Majlis Keselamatan untuk turut serta dalam melaksanakan perjanjian,” kata Duta Besar AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield dalam kenyataan.

Beliau menggesa anggota Majlis Keselamatan untuk menerima pakai resolusi itu, sekali gus bersepakat menyokong perjanjian ini.

Terdahulu, Kumpulan tujuh negara maju (G7) dalam kenyataan memaklumkan pemimpinnya menyokong penuh perjanjian yang didorong oleh Biden untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang komprehensif.

Selain itu, Menteri Luar Arab Saudi, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Mesir dalam kenyataan bersama turut menyokong usaha diplomatik berkenaan.

Kesemua negara itu menekankan kepentingan menangani secara serius dan positif rancangan Presiden AS bagi menamatkan peperangan. -REUTERS 





Source link

OR

Scroll to Top