July 23, 2024

AS pulangkan RM721.4 juta berkaitan 1MDB kepada Malaysia – Kedutaan

AS pulangkan RM721.4 juta berkaitan 1MDB kepada Malaysia – Kedutaan


KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) telah memulangkan kira-kira US$156 juta (RM721.4 juta) kepada kerajaan Malaysia yang juga transaksi keempat dana yang diperoleh semula hasil rampasan aset berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perkara itu disahkan oleh Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Jun, 2024, dan dana itu telah dipulangkan susulan petisyen dikemukakan oleh kerajaan dan diluluskan oleh Jabatan Kehakiman AS.

Dalam satu kenyataan, kedutaan itu menyatakan menerusi pindahan dana itu, AS telah mendapatkan, dan membantu memperoleh semula serta memulangkan kira-kira US$1.4 bilion (RM6.6 bilion) dana yang diselewengkan dari Malaysia, setakat ini.

“Kami gembira kerana tranche aset keempat daripada siasatan Jabatan Kehakiman ini dalam proses dipulangkan kepada Malaysia.

“Jumlah wang yang besar ini akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia yang merupakan penerima sepatutnya dan akhirnya dapat dimanfaatkan bagi tujuan asal – demi meningkatkan kehidupan seharian rakyat Malaysia,” kata Edgard.

Menurut kedutaan AS, sebagaimana didakwa dalam aduan, pihak yang terbabit dalam penyelewengan itu yang turut merangkumi pegawai di 1MDB, saudara mara mereka serta rakan lain, telah menyeleweng dana 1MDB berjumlah melebihi US$4.5 bilion.

Perbuatan itu dilakukan menerusi beberapa siri transaksi yang kompleks dan penglibatan syarikat ‘shell’ mencurigakan atau hanya wujud di atas kertas dengan akaun bank di AS dan luar negara menggunakan dokumen serta representasi palsu.

“Kesemua transaksi ini didakwa bertujuan menyembunyikan sumber, asal serta pemilikan dana yang akhirnya melalui institusi kewangan AS dan kemudian diselewengkan bagi memperoleh selain melabur dalam aset di AS dan di luar negara,” katanya.

Kedutaan AS turut menegaskan bahawa kerajaan negara itu kekal komited dalam usaha mendapatkan semula dan memulangkan dana yang dicuri daripada 1MDB demi manfaat rakyat Malaysia. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top