Tehran: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Sabtu berkata, mereka sudah menyerang pangkalan Amerika Syarikat (AS) di Juffair, Bahrain, yang digunakan untuk menyerang sebuah loji penyahgaraman Iran pada awal hari berkenaan.
“Sebagai tindak balas terhadap pencerobohan pengganas AS dari pangkalan Juffair terhadap loji penyahgaraman Qeshm, pangkalan AS ini segera diserang oleh peluru berpandu bahan api pepejal dan bahan api cecair berpandu tepat milik IRGC,” kata Pengawal Revolusi dalam laman web mereka.
Dalam pada itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menuduh, AS menyerang loji penyahgaraman di Pulau Qeshm di Teluk dengan berkata, tindakan itu sudah mencipta satu contoh awal.
“AS melakukan jenayah yang terang-terangan dan terdesak dengan menyerang loji penyahgaraman air tawar di Pulau Qeshm.
“Bekalan air di 30 kampung sudah terjejas,” katanya.
Araghchi menegaskan, menyerang infrastruktur Iran adalah tindakan berbahaya dengan akibat yang serius.
“AS yang menetapkan contoh tindakan ini, bukan Iran,” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd





