ASEAN All-Stars aibkan Manchester United di Bukit Jalil

ASEAN All-Stars aibkan Manchester United di Bukit Jalil


Antara aksi membabitkan pasukan ASEAN All Stars menentang United. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

PASUKAN ASEAN All-Stars berjaya melakukan kejutan menewaskan Manchester United 1-0 untuk menjulang Piala Cabaran Maybank dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain Myanmar, Mg Mg Lwin pada minit ke-71, sekali gus menghadiahkan kemenangan berprestij kepada barisan bintang pilihan ASEAN.

Kekalahan ini menambah luka buat The Red Devils yang terus bergelut dengan prestasi hambar musim ini, termasuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-15 tanpa sebarang kejuaraan.

Biarpun dibarisi nama-nama besar dan dikendalikan pengendali dari Portugal, Ruben Amorim, United kelihatan bergelut menyesuaikan rentak permainan sejak wisel permulaan dibunyikan.

Pasukan ASEAN All-Stars tampil lebih tersusun dengan beberapa percubaan awal termasuk rembatan deras dari Hai Long Nguyen seawal minit kelima, namun tersasar ke kanan gawang yang dikawal Andre Onana.

Beberapa minit kemudian, Amani Santos Aguinaldo pula mencemaskan benteng pertahanan United dengan satu lagi percubaan berbahaya, namun rembatannya tinggi melewati palang.

United pula hanya mampu mencipta percubaan pertama pada minit ke-23 menerusi tandukan kapten, Harry Maguire, tetapi mudah ditangkap kemas oleh penjaga gol ASEAN All-Stars, Patiwat Khammai yang cemerlang sepanjang perlawanan.

Tersentak dengan tekanan bertali arus, Amorim melakukan lima pertukaran pada minit ke-30 termasuk mengeluarkan Maguire dan Carlos Casemiro dalam usaha merombak strategi permainan.

Kemasukan Kobbie Mainoo dan beberapa pemain muda memberikan sedikit perubahan, dengan Mainoo hampir membuka tirai jaringan buat United tetapi sekali lagi dinafikan Khammai.

Separuh masa kedua menyaksikan kebangkitan The Red Devils yang menggandakan asakan, namun penyudah lemah dan ketangkasan pertahanan lawan terus mengecewakan mereka.

Bruno Fernandes yang masuk sebagai pemain gantian melepaskan sepakan padu pada minit ke-53 tetapi hanya melambung tinggi.

Ketika United sibuk mencari rentak, ASEAN All-Stars bijak mengambil peluang keemasan apabila Mg Mg Lwin menyempurnakan hantaran lintang untuk menewaskan penjaga gol gantian United, Thomas Heaton pada minit ke-71.

Biarpun United terus menggandakan usaha untuk mencari gol penyamaan, benteng kental ASEAN All-Stars memastikan keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.



Source link

OR

Scroll to Top