am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri-Menteri Luar Asean bersetuju bahawa krisis keselamatan di Myanmar perlu ditangani menerusi rundingan berterusan dengan State Administrative Council (SAC) yang diterajui Junta dan pihak berkaitan.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Asean sebagai sebuah keluarga besar mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Myanmar berada dalam keadaan aman.
“Bukan bermaksud negara anggota mahu mencampuri hal ehwal negara dalaman Myanmar.
“Tetapi masalah di dalam Myanmar itu telah pun menjadi masalah kepada negara Asean, terutamanya membabitkan pelarian dan masalah jenayah rentas sempadan yang menyebabkan keadaan ketenangan di Asean ini terganggu dan tergugat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan rundingan tidak rasmi Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dalam menangani krisis berpanjangan di Myanmar di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Mohamad turut menekankan bahawa pihak pentadbiran SAC di Myanmar perlu mematuhi 5PC yang dipersetujui semua pemimpin Asean.
5PC dipersetujui pada Mesyuarat Pemimpin Asean di Jakarta pada April 2021, dua bulan selepas tentera Junta merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih secara demokrasi di Myanmar.
5PC menggesa penghentian segera keganasan, mengadakan dialog antara semua pihak, pelantikan utusan khas, membenarkan bantuan kemanusiaan oleh Asean dan membenarkan utusan khas Asean melawat Myanmar untuk bertemu semua pihak.
“Lima perkara ini sudah dipersetujui, tetapi pelaksanaannya masih lemah kerana defisit kepercayaan antara pelbagai pihak di Myanmar.
“Konflik antara etnik dan wilayah di sana sudah berlarutan puluhan tahun, menjadikan proses rundingan sangat kompleks,” katanya.
Justeru itu, beliau berkata, Malaysia sebagai Pengerusi Asean sudah berunding dengan semua pemegang taruh dan merancang untuk mengadakan pertemuan dengan SAC.
“Kami juga merancang untuk ke Myanmar bagi bertemu SAC dan menyampaikan ‘senarai hasrat’ daripada pelbagai pihak yang terlibat. Ini penting untuk memahami permintaan mereka dan mendapatkan maklum balas SAC.
“Rundingan perlu dilakukan berulang kali untuk membina kepercayaan dan persefahaman antara pihak yang bertelagah.
“Kita perlu bina jambatan yang menghubungkan semua pihak supaya dialog dapat diteruskan. Asean tidak boleh berputus asa dalam mendorong penyelesaian damai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd