VIENTIANE – ASEAN perlu kekal sebagai sebuah blok berkecuali bagi menghadapi impak ketegangan geopolitik global dalam usaha merangsang pelaburan asing di rantau ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Ketika menegaskan pendirian itu, beliau berkata blok serantau berkenaan juga perlu memastikan aspek keterangkuman dan keterbukaannya menjadi faktor penarik bagi meningkatkan pelaburan, di samping memberi penekanan terhadap aspek kelestarian.
“Kita berdagang dan berkawan dengan semua negara Eropah, negara barat dan juga negara BRICS seperti China, Rusia dan sebagainya.
“Pada masa sama (kita juga berdepan) isu ekonomi dunia dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia yang nampaknya lebih perlahan daripada dijangkakan,” katanya pada sesi bersama media Malaysia, di sini semalam.
Tengku Zafrul dan delegasi kementeriannya tiba di Laos pada 6 Oktober lepas bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula hari ini sehingga 11 Oktober.
Beliau turut menyertai Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-24 semalam.
Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata di sebalik ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global, ASEAN masih menerima pelaburan yang tinggi walaupun pelaburan langsung asing (FDI) global menurun.
“Kita (mencatat perkembangan) bertentangan dengan trend, jadi ini adalah sesuatu yang positif. Isu lain adalah tarif yang mungkin digunakan untuk melindungi sesetengah pasaran dan menyebabkan pentingnya bagi ASEAN untuk terus berbincang dengan blok lain, terutama platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya.
Selain itu, katanya, Pelan Strategik AEC 2026-2030 yang kini sedang dirangka, dijangka dibentangkan pada Mei 2025 yang bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Beliau juga menyifatkan pelan itu penting bagi memastikan ekonomi ASEAN terus berkembang dalam julat 4.0-5.0 peratus pada 2030 dan muncul sebagai blok ekonomi keempat terbesar dunia.
“Pada masa ini kita merupakan blok ekonomi kelima terbesar dan jumlah populasi ASEAN pun mencecah 680 juta dengan hampir separuh daripadanya di bawah usia 30 tahun.
“Oleh itu, kita perlu fokus kepada agenda pasca 2025, kita mahu perkuatkan ASEAN dan ketengahkan kelebihan dan keunikan kita sebagai sebuah blok,” katanya.
Pada mesyuarat Majlis AEC, Tengku Zafrul berkata beliau telah memberi penekanan kepada usaha meningkatkan perdagangan intra-ASEAN yang ketika ini dalam lingkungan 23-24 peratus.
ASEAN juga katanya, perlu memberi perhatian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merangkumi kira-kira 89-99 peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat di blok serantau itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tiba malam ini bagi menghadiri sidang kemuncak berkenaan.
Pada 11 Oktober, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan secara rasmi menyerahkan jawatan kepengerusian berkenaan kepada Malaysia. – BERNAMA