PRESIDEN Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid menyifatkan pencalonan lima wakil Selangor FC dalam senarai akhir Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024/25 sebagai bukti nyata bahawa skuad Merah Kuning masih kekal relevan dan kompetitif dalam kancah bola sepak tanah air.
Menurutnya, pencapaian empat pemain dan ketua jurulatih Selangor yang dicalonkan dalam lima kategori utama wajar diraikan, apatah lagi ketika saingan musim ini dilihat begitu sengit, terutamanya daripada pasukan dominan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Selangor berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua untuk dua musim berturut-turut dan turut menjulang Piala Cabaran. Ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan,” tegasnya.
Katanya, Ketua Jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi yang dicalonkan untuk kategori Ketua Jurulatih Terbaik, memainkan peranan besar dalam menstabilkan pasukan selepas mengambil alih daripada Nidzam Jamil pada Oktober lalu.
“Kinoshi mengambil alih ketika Selangor sedang bergelut dalam pelbagai aspek termasuk prestasi tidak konsisten, kecederaan pemain serta cabaran di pentas Asia menerusi ACL2 (Liga Juara-Juara Asia 2).
“Namun, beliau berjaya mengemudi skuad kembali ke landasan terbaik,” katanya kepada Sukan Sinar.
Edisi ABK kali ini menyaksikan lima wakil Selangor FC disenaraipendek bagi lima kategori utama iaitu, Ketua Jurulatih Terbaik: Kinoshi Katsuhito; Penjaga Gol Terbaik: Kalamullah l-Hafiz; Pertahanan Terbaik: Harith Haiqal; Import Terbaik: Alvin Fortes dan Pemain Muda Terbaik: Haykal Danish Haizon.
Mengulas pencalonan Alvin Fortes, Mohd Faizal berkata, pemain dari Cape Verde itu menunjukkan peningkatan ketara walaupun berdepan kesukaran di awal musim.
“Fortes membuktikan nilainya sebagai aset penting pasukan dengan kemahiran individu yang tinggi dan disiplin taktikal yang baik.
“Meskipun Bergson da Silva (JDT) mencuri perhatian, Fortes tetap konsisten dan memberi impak besar kepada pasukan,” jelasnya.
Mohd Faizal turut memuji Haykal Danish yang dicalonkan untuk Pemain Muda Terbaik, menegaskan bahawa Selangor masih memiliki barisan bakat tempatan berkualiti walaupun liga kini dibanjiri pemain warisan dan naturalisasi.
“Potensi Haykal berjaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh Abdi Hassan semasa beliau menjadi pengendali sementara dan kini terus diberi ruang oleh Kinoshi. Saya yakin masa depannya cerah,” katanya lagi.