Ashhry Atan belanja 500 jururawat, peruntuk lebih RM10,000

Ashhry Atan belanja 500 jururawat, peruntuk lebih RM10,000

Ashhry Atan belanja 500 jururawat, peruntuk lebih RM10,000


Kuala Lumpur : Mengikut jejak langkah abang tersayang yang juga usahawan terkenal, Anas Zahrin, pempengaruh dan ahli perniagaan, Ashhry Atan membuktikan sikap pemurah bukan sekadar sandiwara media sosial.

Pemilik restoran Ashhryshoshedap ini mengambil langkah meraikan lebih 500 jururawat dari seluruh Johor Bahru sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026 yang jatuh pada 12 Mei lalu.

Menerusi inisiatif murni itu, Ashhry memperuntukkan lebih RM10,000 bagi menyajikan pelbagai hidangan secara percuma di premisnya yang terletak di Nongchik Riverside, Johor Bahru.

“Lebih 20 jenis menu makanan Melayu dan aneka manisan yang menjadi identiti restoran saya dijamu kepada wira-wira kesihatan kita dari Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) dan banyak lagi.

“Paling manis bagi saya ialah melihat dedikasi cef yang mula ‘berperang’ di dapur seawal jam 6 pagi demi memastikan kualiti makanan terbaik buat tetamu jemputan,” katanya.

Menurut Ashhry, semangat untuk bersedekah ini diberikan oleh ibunya, Hamida Dan serta galakan berterusan daripada Anas Zahrin yang sentiasa menyokong usaha menggembirakan orang sekeliling.

Jelasnya, sambutan ini adalah tanda penghargaan buat golongan jururawat yang berbakti selama berpuluh tahun di barisan hadapan tanpa kenal penat lelah.

“Saya rasa sebak kerana ini kali pertama restoran sendiri menganjurkan keraian sebegini. Melihat senyuman mereka saat menikmati hidangan adalah satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” tambahnya lagi.

Mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak yang mungkin menganggap tindakannya sebagai gimik, Ashhry menegaskan dia langsung tidak berniat untuk riyak.

Sebaliknya, dia mahu menjadi inspirasi kepada orang lain untuk terus melakukan kebaikan.

Restoran Ashhryshoshedap pernah dinobatkan sebagai Johor The Best Restaurant 2025 dengan menu yang cukup popular adalah daging salai masak lemak, asam pedas ikan pari dan pencuci mulut unik “Kura-Kura Mencintaimu”.

Mengenai perancangan masa depan pula pihaknya bakal melancarkan cawangan kedua di R&F Johor Bahru pada Jun depan.

Restoran yang mula beroperasi sejak Februari 2022 ini kini menjadi antara lokasi ‘port’ makan popular di selatan tanah air, khususnya bagi peminat Creamy Butter Clam dan Spaghetti Salted Egg.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top