ASM penggerak transformatif, terajui kecemerlangan sains

ASM penggerak transformatif, terajui kecemerlangan sains


Akademi sains telah lama membentuk cara tamadun berkembang dan maju dengan meningkatkan pengetahuan, memberi inspirasi kepada kejayaan dan menyelesaikan beberapa cabaran terbesar manusia.

Institusi ini menghimpunkan minda yang cemerlang, menggabungkan kepakaran mereka untuk memacu kemajuan dan menyediakan penyelesaian untuk masyarakat.

Sebagai contoh, salah satu akademi sains pertama, Accademia dei Lincei, telah diasaskan pada tahun 1603 di Itali.

Kemudian, Royal Society of London, yang ditubuhkan pada 1660 menjadi hab untuk penemuan saintifik, menyumbang kepada kemajuan yang membentuk dunia moden, daripada fizik kepada perubatan.

Akademi ini tidak hanya menumpukan pada sains, tetapi juga memberi maklum balas kepada kerajaan, dasar dan cara negara menangani isu kritikal.Hari ini, akademi sebahagian daripada pergerakan global yang lebih besar untuk pembangunan dipacu sains, bekerjasama melalui rangkaian seperti InterAcademy Partnership (IAP).

IAP menghubungkan 149 akademi sains, memupuk kerjasama untuk menangani cabaran global yang mendesak.

Di seluruh dunia, akademi sains membimbing pemimpin dengan nasihat pakar, menggalakkan kerjasama antara pelbagai bidang dan memastikan sains menyumbang kepada pertumbuhan negara.

Akademi Sains Malaysia (ASM), sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut menggerakkan peranan sama sejak penubuhannya pada tahun 1995.

Selama 30 tahun, ASM telah menjadi sumber nasihat pakar yang boleh dipercayai, platform untuk memupuk bakat tempatan dan penggerak ekosistem sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) Malaysia.

Meraikan ulang tahun ke-30 pada 1 Februari 2025, ASM melihat semula perjalanannya menyokong negara untuk membuat keputusan berasaskan bukti serta membina ekosistem STIE dan memperkasa pemimpin saintifik generasi akan datang.

Memperkasa Idea, Menghubungkan Insan, Membentuk Masa Depan

Penubuhan ASM

Usaha untuk penubuhan ASM telah diperincikan sejak tahun 1984 apabila Presiden Pengasas, Prof Emeritus Tan Sri Dr Omar Abdul Rahman, dilantik sebagai Penasihat Sains kepada Perdana Menteri.

Menyedari keperluan untuk badan saintifik untuk meningkatkan daya saing Malaysia, beliau telah meng- himpunkan sekumpulan saintis, ju- rutera dan pakar perubatan tempatan untuk menubuhkan ASM.

Usaha ini membuahkan hasil apabila kertas Kabinet dibentangkan oleh Perdana Menteri ketika itu pada 17 November 1993.

Kelulusan Kabinet seterusnya membawa kepada penubuhan rasmi ASM pada 1 Februari 1995, di bawah ‘Akta Akademi Sains Malaysia 1994’.

ASM bermula dengan hanya 50 Felo pengasas dan kumpulan pengurusan yang terdiri daripada 10 kakitangan.

Walaupun begitu, ASM dengan pantas memperoleh momentum, mengukuhkan peranan institusi berkenaan sebagai platform kritikal untuk memajukan ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) Malaysia.

Sehingga 2024, ASM kini berkembang dengan rangkaiannya kini merangkumi 1,040 pakar di seluruh negara.

Ini termasuk Felo Kanan, Felo, Top Research Scientists Malaysia (TRSM), ahli Young Scientists Network (YSN), Associates dan penerima Mahathir Science Award.

Selari itu, kapasiti operasi ASM juga berkembang kepada 109 orang yang terdiri daripada pengurusan dan kakitangan daripada Bahagian Kajian, Analitik dan Kerjasama Strategik STI, Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa dan Komunikasi serta Bahagian Perkhidmatan Korporat.

Felo ASM berhak mendapat gelaran ‘Fellow of the Academy of Sciences Malaysia’ dan penggunaan pasca nominal ‘FASc’ di hujung nama mereka yang mengiktiraf kepakaran dan perkhidmatan mereka dalam STIE.

Felo Kanan ASM ialah anugerah tertinggi ASM dan negara, mengiktiraf ahli yang telah mencapai kecemerlangan yang ketara dalam bidang masing-masing.

Mereka yang menerima penghormatan ini dipanggil ‘Academician’.

Rangkaian pakar ASM juga memainkan peranan mereka di peringkat antarabangsa antaranya di International Science Council (ISC), World Academy of Sciences (TWAS), Association of Academies and Societies of Sciences in Asia (AASSA), ASEAN Young Scientists dan APEC Policy Partnership on STI (PPSTI).

Menerajui misi kecemerlangan saintifik ASM bermula sebagai institusi mempromosikan sains dan teknologi di Malaysia.

Usaha awal ini adalah untuk membangkitkan minat dalam disiplin sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta menyediakan laluan untuk anak muda Malaysia bekerja dalam bidang berkenaan.

ASM berkeyakinan, generasi muda adalah peneraju masa depan Malaysia, terutamanya dalam bidang berkaitan STI.

Oleh itu, sejak 1999, National Science Challenge (NSC) telah menjadi program perdana ASM untuk memupuk bakat muda ini.

Pertandingan ini menggalakkan pelajar sekolah menengah (Tingkatan 1 hingga 4) mengaplikasikan pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Sehingga hari ini, NSC telah membabitkan lebih daripada 170,000 pelajar seluruh negara.

NSC mempunyai pendekatan pembelajaran melalui kaedah experiental dan hands-on, berhasrat untuk melengkapkan pendidikan STEM formal pelajar di sekolah.

Setiap tahun, tema pertandingan memberi tumpuan kepada pelbagai topik penting dan relevan seperti keselamatan makanan, kelestarian alam sekitar dan kemajuan dalam teknologi digital.

Tema ini dipilih dengan teliti untuk mencerminkan cabaran global yang mendesak dan trend baharu muncul, membolehkan para peserta meneroka penyelesaian inovatif dan mendalami pemahaman mereka tentang isu-isu kritikal.

Dalam usaha lain, satu sisipan yang dikenali sebagai estidotmy telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia bermula tahun 2002 hingga 2012.

Sejumlah 114 isu tematik mencetuskan minat membaca pelajar dan juga menjadi bahan rujukan guru dalam menyampaikan ilmu sains kepada pelajar.

Pada Oktober 2020, versi elektronik diperkenalkan sebagai e-estidotmy, yang kini mempunyai pembaca antaranya dari Malaysia, Indonesia, Filipina, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Pada awal penubuhannya, ASM juga sangat menekankan untuk mem- promosi kecemerlangan saintifik melalui inisiatif seperti ‘National Nobel Laureate Programme’ yang membawa masuk lebih daripada 30 Pemenang Nobel.

Usaha ini bertujuan, memberikan pendedahan kepada komuniti saintifik Malaysia, membolehkan penyelidik, pendidik dan pelajar terbabit secara langsung dengan Pemenang Nobel berkenaan.

Dengan pertukaran pengetahuan, inspirasi dan perkongsian amalan terbaik, inisiatif ini berusaha meningkatkan landskap saintifik Malaysia dan menggalakkan usaha penyelidikan serta inovasi yang cemerlang.

Memahami dan mentransformasi ekosistem STIE

Peranan ASM semakin komprehensif apabila ekosistem STIE Malaysia semakin matang, beralih kepada institut pemikir efektif yang mampu menghasilkan penyelidikan dan cadangan strategik bernas.

Kini, ASM adalah sebuah badan penasihat signifikan, menyumbangkan pandangan strategik dan cadangan yang dipacu penyelidikan kepada inisiatif utama negara.

Sejak tahun 2010, ASM telah menjalankan 132 kajian strategik yang telah memberikan cadangan utama untuk menangani isu-isu sistemik dan meningkatkan daya saing STIE Malaysia.

Malaysia telah berjaya melakukan peralihan daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan perindustrian melalui pengukuhan ekosistem STIE.

Ini telah berjaya menjadikan Malaysia menjadi salah satu ekonomi paling terbuka di dunia, disokong sektor pembuatan dan perkhidmatan yang teguh.

Selari dengan evolusi ini, kajian perdana ASM, ‘Science Outlook’ dihasikan untuk mengusulkan data yang berkaitan mengenai landskap STIE Malaysia.

Kajian komprehensif ini mencerminkan kemajuan dan cabaran negara, menyediakan analisis bebas dipacu data dan penanda aras untuk membina dasar masa depan.

Laporan pertama ‘Science Outlook’ 2015 – Action towards Vision (SO2015), menilai semula perjalanan STIE Malaysia.

Seterusnya, kajian landskap STIE Malaysia telah dicadangkan, yang membawa kepada penerbitan Science Outlook 2017 – Converging Towards Progressive Malaysia 2050 (SO2017) dan Science Outlook 2020 – Unlocking the Future (SO2020).

Cadangan daripada tiga edisi berkenaan menerima maklum balas positif serta dilaksanakan oleh Kerajaan.

Laporan Science Outlook 2025 akan melihat kepada ekosistem STIE setiap negeri di tonggak ekonomi, masyarakat dan alam sekitar.

Ketika pandemik COVID-19, ASM salah satu agensi yang berdiri di barisan hadapan dalam usaha melindungi negara dengan menyediakan input nasihat pakar dan cadangan yang memberi kesan secara langsung kepada kesihatan awam dan kemajuan saintifik.

Melalui Special Interest Group (SIG) mengenai COVID-19, ASM menyatukan pakar merentas disiplin untuk menangani cabaran mendesak, seperti mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan, memastikan kesediaan wabak dan membimbing penyelidikan tentang vaksin, diagnostik dan terapeutik.

Bersama MOSTI dan Kementerian Kesihatan, ASM membangunkan pan- duan Program Imunisasi COVID-19, sebuah inisiatif menyeluruh oleh kerajaan bagi pelaksanaan vaksin kepada masyarakat.

Walau bagaimanapun, ketika dunia menghadapi implikasi jangka panjang COVID-19, fokus SIG berkenaan berkembang untuk menangani isu kesihatan planet yang lebih luas dan saling berkait.

Komitmen ASM terhadap kesihatan planet mencerminkan pemahaman bahawa menangani cabaran kompleks seperti wabak memerlukan usaha menangani punca ancaman kesihatan seperti kemusnahan alam sekitar dan perubahan iklim.

Dengan mempromosikan idea ini, ASM berhasrat memupuk daya tahan dan kemampanan global jangka panjang, memastikan kesihatan manusia dan planet ini untuk generasi akan datang.

Oleh itu, ASM diberi mandat untuk mengusahakan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN) pada tahun 2022.

Sumbangan ASM yang lebih luas termasuk peranannya sebagai penasihat antaranya bagi Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan & Ekonomi (RDICE), Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) dan Reformasi Pendidikan Negara (NER).

Selain itu, ASM turut mendapat kepercayaan pelbagai seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta mempunyai kerjasama erat dengan kerajaan negeri di seluruh negara.

Usaha ASM yang memberikan input ini menunjukkan komitmen untuk menyediakan fakta yang dipacu data bagi perancangan strategik dan penggubalan dasar, memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan berdaya tahan di peringkat global.

Membuat perubahan komitmen kukuh

Sejak Jun 2022, peranan Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan negara telah dimandatkan kepada Presiden ASM.

Ini sekali gus memperkukuh kedudukan ASM sebagai badan berkanun yang berusaha memperkasa ekosistem STIE negara yang penting dalam agenda pembangunan negara.

Melihat kepada peranan penting berkenaan, Parlimen juga telah memberi mandat kepada ASM untuk menjadi agensi pelaksana bagi Malaysia Science Endowment (MSE).

Peranan MSE adalah usaha untuk mewujudkan pembiayaan berterusan untuk ekosistem RDICE.

Dana endowmen ini akan menarik sumbangan daripada pihak industri, filantropis serta pihak berkepentingan untuk padanan dengan dana yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Seterusnya, pulangan tahunan yang dijana daripada MSE akan dipadankan dengan industri dan organisasi antarabangsa untuk melaksanakan program kerjasama RDICE berimpak tinggi di seluruh negara.

ASM menjemput industri untuk bekerjasama dalam memacu inisiatif transformatif ini.

Melalui MSE, ASM menyasarkan untuk memupuk ekosistem bertenaga, berdaya tahan dan saling berkaitan yang memperkasakan industri, akademik dan masyarakat dengan memanfaatkan kuasa perkongsian awam-swasta.

Menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, ASM juga memainkan peranan penting dalam mengemudi inisiatif serantau untuk memartabatkan ASEAN sebagai kuasa inovasi.

Menerusi inisiatif ASEAN Ahead, ini bertujuan untuk meletakkan ASEAN di barisan hadapan dalam kemajuan sains dan teknologi global.

Laporan ASEAN Ahead: ASEAN STI Ecosystem Foresight 2035 and Beyond, memfokuskan kepada trend dan peluang utama untuk pembangunan STI di rantau ASEAN.

Laporan yang dijangka dikeluarkan pada Julai tahun ini akan memperkukuh lagi eko- sistem STI ASEAN dan menyediakan visi bersama untuk negara anggota.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Chang Lih Kang mengesahkan komitmen kerajaan untuk menyokong usaha ASM.

“ASM adalah sebuah institusi yang amat diperlukan dalam memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan dalam penyelidikan saintifik dan inovasi, dengan dasar yang memacu daya saing dan daya tahan negara. Saya berharap ASM akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan daya saing global Malaysia dalam sains dan inovasi”, kata beliau

Meraikan ulang tahun yang ke-30, impak ASM jelas dalam peranannya sebagai penasihat serta menerusi pelbagai inisiatif.

Perjalanan ASM adalah satu kisah mengenai daya tahan, visi dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi dalam kuasa transformatif sains.

Dengan komitmen teguh, ASM bersedia untuk memimpin Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top