Aston Villa terbang tinggi, Emery bina impian Eropah di tengah badai EPL

Aston Villa terbang tinggi, Emery bina impian Eropah di tengah badai EPL


PERTARUNGAN sengit Liga Perdana Inggeris semakin memuncak dengan pertembungan antara Brentford dan Aston Villa di Stadium Komuniti Gtech menjadi bukti nyata.

Skuad kendalian Unai Emery itu terus mengukuhkan impian mereka untuk beraksi di pentas Eropah meskipun terpaksa bergelut dengan jadual padat dan cabaran di Liga Juara-Juara.

Bagi Unai Emery, mengejar impian Liga Juara-Juara sambil bersaing untuk berada di lima kelompok teratas liga ibarat melastik dua burung dengan satu batu.

Malah kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan Ollie Watkins turut menjadi suntikan semangat penting buat Villa terutamanya selepas mereka gagal meraih kemenangan dalam perlawanan di laman lawan sebelum ini.

“Tiga mata ini beri kami keyakinan dan kepercayaan untuk terus bersaing merebut tempat ke Eropah,” kata Emery yang berpuas hati dengan keseimbangan yang cuba dicapai pasukannya di liga.

Sementara itu, pengendali Brentford, Thomas Frank terpaksa menelan kekecewaan apabila impian The Bees untuk beraksi di pentas Eropah semakin menjauh.

Kecederaan dan keletihan pemain menjadi penghalang utama walaupun mereka tidak menafikan faktor pengadilan turut mempengaruhi keputusan.

“Sudah tentu kami bermimpi dan ingin menamatkan musim setinggi mungkin.

“Mereka telah menandatangani lima pemain hebat (pada jendela perpindahan musim sejuk) – itulah yang kami lawan,” kata Frank, sambil mengakui tekanan yang dihadapi Villa untuk memenangi perlawanan.

Dengan perlawanan timbal balik di Liga Juara-Juara menentang Club Brugge di depan mata, Emery mengambil langkah berhati-hati dengan merehatkan Emi Martínez dan Marco Asensio akibat kecederaan otot.

Robin Olsen diberi kepercayaan untuk mengawal gawang Villa, dan beliau berjaya mencatatkan ‘clean sheet’ kedua musim ini.

“Beliau melakukan tugas yang fantastik hari ini.

“Beliau sangat dihargai sebagai individu. Tidak mudah menjadi penjaga gol simpanan kepada penjaga gol terbaik di dunia,” puji Emery.

Emery menurunkan barisan serangan yang lincah, dengan Morgan Rogers, Leon Bailey, dan Jacob Ramsey menyokong Watkins.

Namun, John McGinn dan Youri Tielemans, yang ditugaskan mengawal bahagian tengah, beberapa kali terlepas kawalan akibat tekanan tinggi Brentford.

Namun, jaringan Watkins pada akhirnya memastikan Villa meraih tiga mata berharga, sekaligus mengukuhkan impian mereka untuk beraksi di pentas Eropah.



Source link

OR

Scroll to Top