ASTRO kembali menyemarakkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025-2026 apabila akan menyiarkan 229 perlawanan secara langsung dalam format definisi tinggi (HD).
Siaran menerusi saluran khas Arena Bola (803 dan 804) serta platform penstriman Sooka menjanjikan pengalaman tontonan lebih menyeluruh sama ada di rumah, stadium mahupun di hujung jari melalui pek Astro One dan Sooka.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, pihaknya komited menyemarakkan semangat bola sepak dalam kalangan rakyat Malaysia dengan pendekatan baharu dan kandungan yang lebih segar.
“Bola sepak adalah denyut nadi jutaan rakyat Malaysia dan Astro berbangga menjadi peneraju dalam menyemarakkan lagi semangat ini.
“Sepanjang dua musim lalu, kami menyaksikan peningkatan tontonan melebihi 20 peratus dengan hampir 24 juta tontonan keseluruhan satu petunjuk jelas bahawa minat terhadap liga tempatan kekal kukuh,” katanya dalam Majlis Pelancaran Astro x Liga Malaysia 2025-2025 pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Astro tampil dengan wajah baharu barisan penganalisis bola sepak yang terdiri daripada bekas pemain profesional negara.
“Untuk musim ini, Astro tampil dengan pendekatan lebih segar dengan menonjolkan barisan pakar bola sepak.
“Pakar-pakar ini yang dahulunya pemain profesional, kini akan berkongsi pengalaman mereka di studio untuk membawa perspektif sebenar dari padang ke skrin,” katanya.
Dua nama besar yang menyertai pasukan penyiaran ialah bekas penyerang prolifik negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan bekas penjaga gol utama kebangsaan, Farizal Marlias.
Mereka akan bergandingan bersama barisan sedia ada seperti Zaquan Adha, Safee Sali, Razman Roslan, Nizaruddin Yusof, Norshahrul Idlan Talaha dan Datuk Zainal Abidin Hassan bagi memberikan ulasan serta analisis mendalam dari perspektif sebenar seorang pemain bola sepak.
Astro turut melancarkan kempen ‘Ini Padang Kita’ sebagai penghormatan kepada padang-padang tempatan yang menjadi titik mula perjalanan pemain-pemain hebat negara.
“Kami juga terus komited untuk menyokong pembangunan akar umbi melalui kempen ‘Ini Padang Kita’ yang memulihkan dan mengaktifkan semula padang komuniti sebagai pusat melahirkan bakat dan penyatuan masyarakat,” katanya.
Mengukuhkan lagi komitmen terhadap bola sepak Malaysia, Astro turut mengumumkan kerjasama bersama U Mobile sebagai penaja siaran rasmi Liga-M untuk tahun kedua berturut-turut.
Dalam pada itu, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan musim baharu ini bakal menjadi antara musim paling menarik dengan kehadiran tiga kelab baharu iaitu Melaka FC, Imigresen FC dan kemunculan semula DPMM FC dari Brunei.
“Kerancakan kelab mempersiapkan pasukan menjanjikan musim yang penuh kejutan.
“Peminat pasti ingin menyaksikan sejauh mana kemampuan pemain tempatan beraksi dalam saingan domestik selepas prestasi cemerlang Harimau Malaya di pentas antarabangsa,” katanya.