KEPUASAN jelas kelihatan di raut wajah atlet Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhamad Asyraf Wajdi Kamarozaman apabila meraih pingat emas acara individu lelaki petanque Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 pada petang Sabtu.
Dia berjaya mengatasi dua pencabar iaitu Haris Jonaidey dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang merangkul pingat perak dan Muhammad Aiman Akmal dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi pingat gangsa.
Begitupun Muhamad Asyraf Wajdi mengakui dia tetap berdepan cabaran sukar tentangan dari atlet UiTM dan USIM sebelum kejuaraan menjadi miliknya.
“Pada SUKIPT edisi kelima, saya mendapat pingat perak dan kali ini, syukur kerana dapat menukar warna pingat ke pingat emas. Ini penampilan kali kedua saya dan sasaran untuk banggakan nama UKM dengan kilauan emas akhirnya tercapai.
“Saya bangga kerana dapat menaikkan nama UKM untuk acara Petanque pada edisi SUKIPT kali ini,” katanya.
Justeru, dia berharap kejayaan meraih pingat emas pertamanya itu dapat menjadi suntikan semangat buat atlet petanque baharu UKM selepas ini.
Menurutnya, universiti itu mampu mempertingkatkan dan melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu dalam sukan tersebut pada masa hadapan.
“Berkat sokongan keluarga dan jurulatih, latihan yang saya tekankan selama tempoh sebulan lalu akhirnya membawa kejayaan.
“Biarpun ketinggalan di permulaan perlawanan, ia tidak melemahkan semangat untuk saya terus fokus dan mengakhiri perlawanan ini dengan kemenangan,” ujarnya.
OR