Rome: Atalanta berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan teratas Serie A apabila mereka menerima kunjungan Empoli dengan Napoli semakin mendekati mereka ketika pasukan itu bermimpi untuk meraih Scudetto pertama mereka.
Pasukan itu mendahului Napoli dengan kelebihan dua mata, sementara juara bertahan Inter Milan berada di belakang dengan satu mata lebih rendah dan baki satu perlawanan.
Namun, pasukan Gian Piero Gasperini mempamerkan aksi positif dalam usaha untuk mencabar kedudukan sebagai pendahulu liga.
Atalanta mencatatkan rekod kelab dengan 10 kemenangan berturut-turut dalam Serie A selepas menewaskan Cagliari pada hujung minggu lalu dan diikuti dengan keputusan positif selepas menang 6-1 ke atas Cesena dalam Coppa Italia pusingan 16.
“Kami datang dengan momentum dan semangat yang tinggi, setiap perlawanan dalam Serie A adalah sukar. Kami berada dalam keadaan yang baik. Pemain saya menikmati permainan mereka dan mereka sangat serasi.
“Kami mempunyai semangat yang hebat selain keyakinan dan semangat yang tinggi. Penyokong kami luar biasa. Kami sedang melalui tempoh yang sangat positif,” kata Gasperini.
Empoli hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir mereka di Serie A dan kini berada di tempat ke-10. Mereka perlu memberikan yang terbaik untuk menghadapi Atalanta yang kini mempunyai serangan yang sangat berbahaya.
Penyerang Argentina Mateo Retegui mendahului carta penjaring Serie A dengan 12 gol, manakala penyerang Nigeria Ademola Lookman, yang baru dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika Tahun Ini menjaringkan lapan gol.
Napoli di bawah kendalian Antonio Conte memiliki pertahanan terbaik dan mereka akan berharap Atalanta tergelincir supaya dapat merampas kembali kedudukan teratas apabila mereka bertandang ke Genoa pada hari Sabtu.
Inter Milan dibawah bimbingan Simone Inzaghi yang akan menerima kunjungan Como (tempat ke-16) pada hari Isnin hampir sempurna di Serie A dengan hanya satu kekalahan setakat ini. Kedua-dua pengurus tahu bahawa tiada ruang untuk kesilapan ketika masing-masing mahu merebut gelaran liga.
Sebaliknya, AC Milan akan berusaha untuk kembali meraih kemenangan di Hellas Verona selepas hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan liga terakhir mereka. Ini menyebabkan pasukan yang memenangi 19 gelaran liga itu kini berada di tempat ke-8, 14 mata di belakang Atalanta.
© New Straits Times Press (M) Bhd