Terengganu muncul negeri terbaik di Malaysia dari aspek ketelusan belanjawan menerusi Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2026, menurut laporan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Terengganu merekodkan 77 mata untuk aspek ketelusan belanjawan, mengatasi Selangor (70), Perak (65) dan Negeri Sembilan (63), manakala skor purata keseluruhan negeri ialah 46 mata.
Menurut laporan itu, pencapaian berkenaan mencerminkan prestasi kukuh Terengganu dalam memastikan maklumat serta dokumen berkaitan belanjawan negeri boleh diakses orang awam.
Malah, Terengganu menyediakan enam daripada tujuh dokumen utama belanjawan yang dinilai dalam tempoh ditetapkan, jumlah tertinggi berbanding negeri lain.
Selangor, Perak dan Negeri Sembilan pula masing-masing menyediakan lima daripada tujuh dokumen yang dinilai.
Lebih penting, Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang menerbitkan Enacted Budget atau Belanjawan yang telah diluluskan bagi 2026 dalam tempoh penilaian MyOBI.

Dokumen berkenaan penting kerana menunjukkan belanjawan sebenar yang telah diluluskan selepas melalui proses perbahasan dan kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN).
IDEAS turut memuji tahap perincian maklumat kewangan yang diterbitkan kerajaan Terengganu, termasuk pecahan perbelanjaan pembangunan mengikut klasifikasi fungsi serta maklumat perbelanjaan secara terperinci sehingga ke peringkat program.
Menurut laporan itu, amalan berkenaan membolehkan orang ramai mengetahui dengan lebih jelas bagaimana sumber kewangan negeri dirancang dan diperuntukkan.
Malah, dalam bahagian cadangan MyOBI 2026, IDEAS secara khusus menjadikan dokumen Anggaran Belanjawan Terengganu sebagai contoh amalan baik yang boleh dicontohi negeri lain kerana menyediakan pecahan perbelanjaan secara terperinci sehingga ke peringkat program.
Selain ketelusan belanjawan, Terengganu turut berada dalam kelompok negeri yang mempunyai tahap pemantauan legislatif yang kukuh.
Selangor menduduki tempat pertama bagi aspek berkenaan, diikuti Pulau Pinang dan Terengganu.

MyOBI menilai pemantauan legislatif berdasarkan beberapa aspek termasuk tempoh diberikan kepada DUN untuk meneliti belanjawan, akses kepada Hansard, maklumat jawatankuasa pilihan, soalan bertulis dan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta mekanisme pemantauan terhadap penggunaan wang awam.
Dalam laporan sama, IDEAS turut memuji Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) kerana memberikan maklum balas serta pandangan terhadap penilaian MyOBI bagi Terengganu.
Menurut IDEAS, kerjasama itu membantu memastikan maklumat dinilai adalah tepat, selain dokumen yang digunakan dapat dikenal pasti dan dirujuk dengan betul.
IDEAS menyifatkan penglibatan berkenaan sebagai satu langkah proaktif dalam menyokong ketelusan belanjawan dan tadbir urus baik.
MyOBI 2026 menilai kesemua 13 negeri berdasarkan tiga komponen utama iaitu kebolehcapaian maklumat belanjawan kepada orang awam, pemantauan legislatif oleh DUN dan peluang penglibatan awam dalam proses belanjawan.

Penilaian kali ini turut menggunakan metodologi yang lebih ketat dan menyeluruh berbanding edisi terdahulu.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, peningkatan yang dicatatkan beberapa negeri menunjukkan kemajuan dalam ketelusan fiskal boleh dicapai, namun semua kerajaan negeri masih mempunyai ruang untuk melakukan penambahbaikan.
Beliau berkata, penerbitan maklumat belanjawan tepat pada masanya, pemantauan legislatif yang lebih kukuh serta penglibatan awam yang bermakna penting bagi meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan belanjawan negeri.
“Bagaimanapun, IDEAS menegaskan belum ada negeri mencapai tahap ketelusan sepenuhnya,” katanya pada Selasa.

Menurut laporan itu, tiada satu pun daripada 13 negeri menerbitkan keseluruhan set dokumen belanjawan penting tepat pada masanya, manakala ruang penglibatan orang ramai dalam proses penyediaan dan pelaksanaan belanjawan masih terhad di seluruh negara.
Kedudukan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam MyOBI 2026 sekali gus meletakkan negeri itu sebagai penanda aras utama dari aspek keterbukaan dan kebolehcapaian maklumat belanjawan, khususnya dalam penerbitan dokumen serta perincian maklumat kewangan kepada orang awam.
Sumber: Pantau Wang Kita
