Pelakon Datin Atikah Suhaime tampil menjawab persoalan netizen mengapa dia masih tinggal bersama keluarga mentua meskipun sudah berkeluarga dan mempunyai cahaya mata.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, Atikah berkata tinggal bersama mentua menjadi pengubat rindu seandainya dia rindukan ibu bapanya lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.
BACA: Disamakan Seperti Bibik Sebab Masak Untuk Suami, Atikah Suhaimi ‘Sound’ Netizen
Menurut Atikah lagi, dia turut menganggap kedua ibu bapa mentuanya seperti ibu bapanya sendiri dan dia tidak terasa hati apabila ditegur.
“Saya masih duduk dengan mentua walaupun sudah ada anak. Mungkin sebab saya rindu keluarga di Singapura. Jadi keluarga mentua ini adalah pengubat rindu. Kalau Ramadan, tidaklah terasa sangat sedih berjauhan daripada mama dan papa.
“Ada orang tanya, macam mana boleh tahan duduk dengan mentua? Saya anggap mentua macam mama dan papa saya sendiri.
“Kalau mama dan papa saya tegur, saya tak terasa hati. Jadi bila mentua tegur pun, saya jarang terasa. Lagi satu, kalau suami saya degil atau nakal, saya terus mengadu dengan mentua. Mentua akan terus tegur suami,” katanya.
Sementara itu, Atikah turut meluahkan rasa syukur dikurniakan mentua yang baik dan jika dia tinggal bersama suami sahaja sudah pasti akan rasa sunyi.
“Alhamdulillah, rezeki saya dapat mentua yang baik. Lagipun sunyi kalau Ramadan hanya saya dan suami sahaja.
“Mungkin juga sebab dari kecil saya sudah biasa dengan suasana Ramadan yang meriah, ada adik-beradik, atuk, nenek, mama, papa, mak cik dan pak cik semua,” katanya.




