Lazaro ungguli Festival Endurance Antarabangsa Melaka 2025 di Klebang pada Ahad. Foto penganjur
USIA hanyalah angka buat Gabriel Lazaro apabila atlet berusia 50 tahun dari Sepanyol itu muncul juara Festival Endurance Antarabangsa Melaka 2025 di Klebang, pada Ahad.
Lazaro menamatkan cabaran melibatkan renangan sejauh 1.5 kilometer (km), kayuhan basikal 40km dan larian 10km dengan catatan masa 2 jam 22 minit 47 saat (2:22:47).
Lebih manis, kemenangan itu disaksikan isteri serta dua anak lelakinya.
“Ini kali pertama saya beraksi di Melaka dan dapat menjuarainya di hadapan keluarga. Ia satu detik yang tidak dapat dilupakan,” kata eksekutif insurans berpangkalan di Singapura itu.
Tempat kedua dimenangi atlet Selangor, Faiz Rahim dengan masa 2:26:52 manakala Goh Guan Xi (2:29:56) melengkapkan senarai tiga terbaik.
Lazaro yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam acara multisukan sebelum ini pernah memenangi triathlon di Miami dan New York ketika menetap di Amerika Syarikat.
“Laluan perlumbaan sangat indah dan penganjuran juga cukup baik. Semua orang mesra dan saya jatuh cinta dengan bandar Melaka. Kami sempat bersiar-siar beberapa hari sebelum perlumbaan,” ujarnya.
Sementara itu, Faiz yang berasal dari Gombak menyifatkan kedudukan naib juara itu sebagai pencapaian terbaiknya setakat ini.
“Saya sudah beberapa kali raih podium tahun ini, tetapi prestasi kali ini lebih cergas daripada sebelumnya. Saya gembira dengan keputusan hari ini,” katanya.
Festival anjuran Hype Haus itu berjaya menarik lebih 1,000 peserta selain kehadiran kira-kira 1,500 penyokong yang terdiri daripada rakan serta keluarga atlet.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman yang melepaskan perlumbaan berkenaan berterima kasih kepada Hype Haus kerana memilih Melaka sebagai lokasi penganjuran.
“Gembira melihat penyertaan ramai atlet luar negara. Ia membuktikan acara ini mendapat pengiktirafan antarabangsa sekali gus mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Ringkasan AI
- Gabriel Lazaro dari Sepanyol menjuarai Festival Endurance Antarabangsa Melaka 2025 dengan masa 2 jam 22 minit 47 saat
- Kemenangan Lazaro disaksikan oleh isteri serta dua anak lelakinya
- Atlet Selangor, Faiz Rahim, memenangi tempat kedua manakala Goh Guan Xi tempat ketiga
- Lazaro mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam acara multisukan dan pernah memenangi triathlon di Miami dan New York
- Festival tersebut berjaya menarik lebih 1,000 peserta dan 1,500 penyokong, mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan