ALOR SETAR – Kerajaan Kedah mengumumkan pemberian ganjaran RM316,450 kepada atlet dan pasukan yang berjaya mengharumkan nama negeri dalam kejohanan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia yang meraih pingat gangsa dalam Sukan Olimpik Paris 2024 antara penerima ganjaran sempena sambutan Aidilfitri.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, insentif ini diberikan sebagai penghargaan kepada atlet yang telah mencapai kejayaan dalam Para Asean Games Cambodia 2023, Sukma & Para Sukma XXI Sarawak 2024 serta Olimpik Paris 2024.
“Saya bangga kerana kontinjen Kedah menunjukkan semangat juang yang tinggi, berjiwa besar mewakili negeri ke temasya Sukma dan Para Sukma ke- 21 di Sarawak pada tahun lalu.
“Penghargaan juga diberikan kepada atlet Kedah yang mewakili negara ke sukan Para Asean Cambodia 2023 dan Olimpik Paris 2024,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian ganjaran kepada atlet dan pegawai temasya Para Asean Games Cambodia 2023, Sukma & Para Sukma XXI Sarawak 2024 dan Olimpik Paris 2024 di Seri Mentaloon pada Rabu.
Muhammad Sanusi (dua dari kanan) menyerahkan replika cek ganjaran kepada ibu Lee Zii Jia, Leow Siet Peng di Seri Mentaloon pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri meletakkan harapan tinggi kepada atlet negeri ini untuk mencipta sejarah sebagai atlet pertama Malaysia yang berjaya meraih pingat emas di temasya sukan paling berprestij dunia, Sukan Olimpik.
“Sehingga kini, belum ada lakaran sejarah Malaysia memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik.
“Saya optimis atlet Kedah akan menjadi atlet pertama memenangi pingat emas di Olimpik dalam apa jua sukan dipertandingkan.
“Sasaran ini dilihat signifikan dengan kejayaan atlet Kedah yang membanggakan di persada sukan antarabangsa sehingga kini,” katanya.
Menurutnya, diharap atlet-atlet Kedah dapat menyerlah dan mengekalkan momentum kecemerlangan dalam sukan masing-masing demi masa depan sukan negeri ini.
“Mulai saat ini, letakkan sasaran utama menjadi atlet pertama memenangi pingat emas dalam Olimpik. Anak Kedah mampu dan hebat,” ujarnya.
Muhammad Sanusi memaklumkan, kontinjen Sukma Kedah meraih 68 pingat, iaitu 21 emas, 19 perak dan 28 gangsa dengan menyertai 36 acara sukan daripada 37 acara dipertandingkan.
“Kontinjen Para Sukma Kedah mengambil bahagian dalam enam acara sukan daripada 10 jenis sukan dipertandingkan dan berjaya membawa pulang 42 pingat, iaitu lapan emas, 24 perak dan 10 gangsa.
“Melihat kepada pencapaian ini, kita yakin atlet-atlet Kedah akan terus melakar kejayaan dalam bidang sukan yang mereka ceburi,” ujarnya.
Menurutnya lagi, keupayaan dimiliki anak-anak muda Kedah dengan pencapaian membanggakan ini tidak dapat disangkal lagi terutama mereka yang berjaya memecahkan rekod kejohanan selain memperolehi pingat lebih baik berbanding penyertaan sebelum ini.
“Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat kepentingan atlet dan menghargai sumbangan penting mereka.
“Disebabkan itu, kita beri imbuhan sebagai tanda penghargaan atas usaha dan pencapaian mereka.
“Kita hargai pengorbanan mereka dari segi masa, tenaga, wang ringgit dalam mengharumkan nama negeri Kedah,” ujarnya.
Muhammad Sanusi memaklumkan, ganjaran RM11,000 turut diberikan kepada atlet sukan Para Asean 2023 seramai enam orang yang telah membantu Malaysia mendapat tempat keempat keseluruhan, dengan 23 pingat emas, 17 perak dan 13 gangsa.
“Semoga ganjaran ini dapat memberi inspirasi kepada semua untuk lebih berusaha dan lebih berjaya pada masa hadapan dalam sukan yang diceburi,” katanya.