aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiada wakil negara dalam acara lompatan di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi Korea Selatan minggu depan, selepas dua atlet negara, Andre Anuar Anura dan Nurul Ashikin Abas disahkan tidak menyertai kejohanan berprestij itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh jurulatih lompatan negara, Ahmad Firdaus Salim yang kini akan memberi fokus untuk penyertaan di Terbuka Malaysia yang dijadualkan September ini.
Menurut Firdaus, atlet lompat kijang dan juga pemegang rekod kebangsaan lompat jauh negara Andre terpaksa menarik diri kerana belum cergas sepenuhnya, manakala Ashikin dikeluarkan daripada senarai penyertaan pada saat akhir, keputusan yang nyata memberi tamparan hebat buat atlet lompat kijang negara itu.
“Andre secara fizikalnya masih belum bersedia, jadi kami ambil keputusan untuk tarik diri dan beri tumpuan kepada persiapan untuk Terbuka Malaysia.
“Mungkin juga akan cuba ke Terbuka Taiwan pertengahan Jun nanti,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ashikin yang baru sahaja mencipta kejutan menewaskan juara ATF dari Thailand Parinya Chuaimaroeng di Kejohanan Olahraga Hong Kong, dilihat sudah cukup bersedia ke ATF, sebelum menerima berita mengejut itu.
“Ashikin menang emas di Hong Kong, semangat dia memang tinggi sebab berjaya tewaskan pemenang emas tiga kali Sukan Sea dan juara ATF dari Thailand (Parinya). Tapi balik saja dari kejohanan tu, dia dapat makluman digugurkan daripada senarai ke Gumi.
“Dia lompat sejauh 12.95m, kalahkan Parinya (12.89m) dan Tia Louise Rozario dari Singapura (12.89m), masing-masing meraih perak dan gangsa ketika di Hong Kong.
“Manakala kelayakan yang ditetapkan MA (Olahraga Malaysia) ke ATF sebelum ini ialah 13.04m, dan tahun lalu Ashikin pernah catat 13.44m. Tapi biasalah, keputusan akhir bukan di tangan kami. Kami terima dan teruskan perancangan,” jelas Firdaus.
Untuk rekod untuk melayakkan diri ke Sukan Sea, Ashikin perlu melakukan catatan 13.46m dan hanya dua sentimeter saja lagi untuk Ashikin melepasi syarat kelayakan ke temasya dwi tahunan itu.
Meskipun keputusan itu mengecewakan Ashikin, mereka kini memilih untuk terus melangkah ke hadapan dengan fokus pada kejohanan akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd