Kampala: Atlet Olimpik Uganda, Rebecca Cheptegei maut selepas dibakar teman lelakinya di Kenya, Afrika Timur.
Khabar duka itu disahkan Ketua Jawatankuasa Olimpik Uganda, Donald Rukare, semalam.
“Kami telah dimaklumkan tentang pemergian atlet Olimpik kami Rebecca Cheptegei yang menyedihkan… berikutan serangan ganas teman lelakinya,” katanya dalam catatan di X.
Pemangku ketua Hospital Pembelajaran dan Rujukan Moi (MTRH) di bandar Rift Valley, Eldorect tempat Cheptegei, 33, dirawat memberitahu, badan wanita itu melecur sehingga 80 peratus.
“Malam tadi, semua organnya tidak berfungsi,” kata seorang doktor di kemudahan itu kepada AFP, semalam.
Polis berkata, seorang lelaki bernama Dickson Ndiema Marangach, yang dikenal pasti sebagai pasangannya, didakwa menyiram Cheptegei dengan petrol sebelum membakarnya dalam serangan yang berlaku di rumahnya di Endebess di daerah barat Trans-Nzoia, Ahad lalu.
Media Kenya melaporkan, salah seorang anak perempuan Cheptegei menyaksikan serangan di rumah ibunya.
“Dia menendang saya semasa saya cuba lari menyelamatkan ibu.
“Saya menjerit meminta tolong sebelum seorang jiran cuba memadamkan api dengan air, tetapi tidak berjaya,” kata gadis itu yang tidak dinamakan kepada The Standard.
Dilaporkan, Marangach turut cedera dalam kejadian itu, melecur 30 peratus pada badannya.
Tragedi itu berlaku hanya beberapa minggu selepas Cheptegei mengambil bahagian dalam maraton di Sukan Olimpik Paris, di mana dia menduduki tempat ke-44.
Serangan itu juga berlaku dua tahun selepas atlet kelahiran Kenya, Damaris Mutua ditemui mati di Iten, hab larian yang terkenal di dunia, Rift Valley.
Pada 2021, pelari Kenya yang memecahkan rekod Agnes Tirop, 25, juga ditemui mati selepas ditikam di rumahnya di Iten.
Angka terkini dari Biro Perangkaan Kebangsaan Kenya yang diterbitkan pada Januari 2023 mendapati 34 peratus wanita di negara itu mengalami keganasan fizikal sejak umur 15 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd