Madrid: Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, masih ragu-ragu sama ada Jose Maria Gimenez dapat beraksi dalam perlawanan La Liga menentang Sevilla di Wanda Metropolitano awal pagi Isnin.
Gimenez, yang membuat 13 penampilan liga musim ini, mengalami kecederaan buku lali ketika sesi latihan semalam.
Simeone berkata, keputusan mengenai penyertaan pemain Uruguay itu hanya akan dibuat saat akhir.
“Kita lihat bagaimana keadaannya,” kata Simeone kepada media.
“Esok, bila dia bangun, dia pasti akan kata dia bersedia bermain kerana kami tahu semangatnya. Dari situ, kami akan menilai,” tambahnya.
Atletico kini berada dalam prestasi cemerlang dengan lapan kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, selain menjaringkan 14 gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka.
Pasukan bimbingan Simeone kini di tempat ketiga La Liga dengan 32 mata, satu mata di belakang Real Madrid yang berada di tangga kedua, dan lima di belakang pendahulu Barcelona, yang bermain lebih satu perlawanan.
Ketika ditanya mengenai kebangkitan pasukannya baru-baru ini, Simeone menjelaskan: “Setiap musim mempunyai masa-masa yang berbeza, dan sekarang kami cuba menjaga momentum yang ada.”
Pengurus dari Argentina itu turut memuji impak besar pemain tengah, Rodrigo De Paul, yang menunjukkan peningkatan ketara dalam beberapa perlawanan terakhir.
“Dia memiliki segala-galanya, dan dia membuktikannya. Sama ada dalam Liga Juara-Juara atau Piala, dia beraksi seperti yang sepatutnya dan seperti yang diinginkan peminat Atletico.
“Dia tahu apa yang penyokong harapkan daripadanya, dan kami harap dia dapat mengekalkan prestasi ini kerana dia memang memiliki kualiti itu. Kami akan terus menuntut yang terbaik daripadanya kerana posisi yang dia mainkan memerlukan komitmen yang tinggi,” tambah Simeone.
© New Straits Times Press (M) Bhd