Kuala Lumpur: Bintang Thailand, Atom Chanakan dan kumpulan Getsunova bakal memeriahkan Konsert Think Thailand 2025 yang dijadualkan berlangsung Arena of Stars, Resorts World Genting, Genting Highlands pada 3 Mei ini.
Pengarah Tourism Authority of Thailand, Sirinthara Suraakanitaya berkata, Konsert Think Thailand 2025 dilihat sebagai platform penting untuk mempamerkan kuasa Thailand dengan keupayaan mempengaruhi minda dan emosi melalui kekayaan budaya, nilai murni dan daya kreativiti.
Menurutnya, identiti dan budaya negara itu juga unik, selain industri seni kreatifnya berkembang pesat hingga mendapat pengiktirafan global sebagai aset bernilai.
“Muzik memainkan peranan sebagai salah satu duta paling gemilang. Penonton akan berpeluang menyaksikan semangat artistik Thailand melangkaui batasan geografi, mewujudkan hubungan emosi berkekalan melalui melodi, gaya penceritaan dan persembahan bertenaga.
“Konsert ini mendapat sokongan agensi di bawah Tourism Authority of Thailand, Amazing Thailand yang berdedikasi mempromosikan landskap budaya Thailand yang pelbagai.
“Dengan memberi sokongan dan memupuk bakat kreatif seperti Atom Chanakan dan Getsunova, Amazing Thailand memainkan peranan dalam memperkuat suara Thailand di peringkat antarabangsa, selain mempamerkan negara bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan menarik, malah sumber inspirasi, inovasi dan kreativiti dinamik,” katanya.
Tambah Suraakanitaya lagi, acara berkenaan bakal menjadi saksi bagaimana muzik, seni dan budaya memberi inspirasi, pengaruh dan menghubungkan sesama manusia.
“Istimewanya, peminat berpeluang bertemu secara eksklusif dengan Atom Chanakan dan Getsunova menerusi sesi Meet & Greet yang hanya terhad kepada 100 pembeli tiket konsert terawal.
“Peluang unik ini menjanjikan interaksi peribadi yang tidak ternilai dengan legenda muzik ini.
“Malah ia melakar sejarah sebagai konsert dari Thailand pertama di Resorts World Genting,” katanya.
Resort World Genting menjadi saksi kepada perayaan gilang gemilang muzik, budaya dan kreativiti Thailand dengan penganjuran konsert anjuran DITP Malaysia dengan sokongan Amazing Thailand.
Ia bukan sekadar persembahan, malah manifestasi kukuh pengaruh ‘kuasa lembut’ Thailand yang semakin menyerlah di persada antarabangsa, sekali gus membuktikan seni, muzik dan inovasi membentuk jati diri negara Gajah Putih itu di mata dunia.
Atom Chanakan dikenali dengan jolokan ‘putera balada’, selain keupayaannya menyentuh hati pendengar menerusi suara dan persembahan penuh emosi.
Selain penampilan kumpulan rock alternatif Thailand, Getsunova yang bakal mempersembahkan gabungan muzik rock dan inovasi elektronik mengegarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd